Isu pelarian: Berpunca tindakan AS dan Barat

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR:  Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyifatkan konflik ketenteraan dan ketidakstabilan politik yang menyebabkan ratusan ribu melarikan diri ke Eropah itu disebabkan oleh intervensi tentera AS dan kuasa Barat yang cuba melakukan penukaran regim (regime change) terutamanya di Iraq, Afghanisatan, Libya dan Syria.

Menurut Presiden Mapim Mohd Azmi  Abdul Hamid pihaknya sangat kesal dan sedih dengan tragedi ramai pelarian yang cuba menyelamatkan diri dari konflik yang berlaku di Timur Tengah menuju ke Eropah , mati dilautan Mediteranian dan Eropah akibat bot yang karam dalam perjalanan ke destinasi yang dikatakan lebih selamat.

"Bukankah AS mendapat sokongan ketenteraan yang kuat dari negara seperti Germany, Britain, Perancis, Italy dan Sepanyol untuk menjatuhkan regim yang dianggap tidak memihak kepada kuasa Barat ?"soalnya.

Sementera itu katanya, ruang larangan terbang (no-fly zone) untuk menyingkirkan pemimpin Libya, Muammar Gaddafi dipimpin oleh Perancis dan United Kingdom pada 2011 dan dibantu oleh Belgium, Denmark, Norway dan Kanada sehingga kini mencetuskan perang saudara yang lebih parah.  

"Yang jelas, campur tangan kuasa Barat sering berakhir dengan konflik dalam negara yang lebih parah dari keadaan sebelumnya," ujarnya.

Kesatuan Eropah yang dianggotai oleh 28 negara itu pada hakikatnya, jelas beliau tidak boleh mempersoalkan kenapa mereka harus menerima pelarian tersebut walaupun mendakwa mereka tidak pun menceroboh negara-negara dari mana pelarian itu datang.

Negara bekas blok Russia termasuk Hungary, Slovakia, Bulgaria, Romania, Czech Republic, Slovakia atau Latvia – semuanya kini menganggotai EU dikatakan mempunyai polisi pintu terbuka kepada migran dan pelarian yang transit di negara-negara tersebut.

Amerika Syarikat terlibat secara langsung dalam operasi penukaran regim di Afghanistan (2001) dan Iraq (2003) dan berterusan menyokong usaha untuk menjatuhkan President Bashar al-Assad di Syria yang kini telah melancarkan perang saudara yang masuk tahun kelima sehingga mengakibatkan lebih 250,000 orang maut dan lebih 2 juta menjadi pelarian.

Jelas Mohd Azmi, tidak dapat dinafikan bahawa mereka boleh disifatkan sebagai ‘pelarian regime change'  iaitu pelarian yang menjadi mangsa akibat kuasa Barat mahu menukar pemerintah sesebuah kerajaan yang dianggap tidak lagi cenderung untuk memenuhi kehendak kuasa Barat.

"Inilah isu terpenting kenapa pelarian sanggup meredah lautan untuk menyelamatkan diri dari konflik yang semakin teruk di negara-negara berkenaan bila tercetus perlawanan ganas antara rakyat yang menyokong penukaran pemimpin dan yang menentang.

"Perbahasan di negara-negara Eropah mengenai isu ini terlalu tertumpu kepada perang saudara yang tercetus dan dikatakan adalah akibat dari pergolakan ekonomi, fanatisme , korupsi, pemerintah diktator dan kegagalan ekonomi .

Justeru katanya, negara barat cuba mengelakkan perbincangan bahawa kuasa Barat itulah yang yang telah berkonspirasi untuk menjatuhkan regim di negara-negara berkenaan dan selanjutnya bertukar menjadi perang sivil.

"Kami berpendirian hanya dengan memahami punca krisis dan mengatasi punca itulah yang boleh menyelesaikan masalah . Tetapi pemimpin Eropah tidak mahu mengguna pendekatan ini kerana tahu mereka terlibat dalam mencetuskan gejala pelarian itu sendiri.

"Menjatuhkan seorang pemimpin negara melalui intervensi tentera dan konspirasi kuasa luar tidak boleh diharapka untuk menyelesai masalah pelarian yang terpaksa menyelamatkan diri ke negara Barat , padahal negara Barat yang menjadi punca kepada konflik yang berlaku," tegas beliau. – HARAKAHDAILY 17/9/2015

Share on Myspace