Heret pembunuh kejam Morais ke muka pengadilan

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Seluruh rakyat Malaysia terkejut dengan keadaan mayat Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara, Anthony Kevin Morais ditemui semalam.

"Berdasarkan kronologi kes sejak penculikannya 4 September lalu, ia boleh disifatkan ala gangster, berprofil tinggi dan melibatkan public interest," kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan.

Sehubungan itu, katanya PAS merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang dan ucapan terima kasih kepada pihak polis yang bertindak agresif serta pantas dalam menyiasat kehilangan mangsa sehingga menjumpai mayatnya yang menyayat hati tersebut.

"Kita memberikan kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk mengheret penjenayah sebenar ke muka pengadilan dengan segera.

"Tanpa terjerut dalam spekulasi, saya harap kerajaan mesti pandang serius kepada kenyataan adik mendiang, Datuk Richard Morais semalam yang mendakwa bahawa pembunuhan kejam abangnya berkait dengan siasatan kes yang sedang diuruskan oleh beliau akhir-akhir ini," ujarnya lagi.

Sebelum ini, katanya sudah banyak kes kematian yang melibatkan individu dan institusi penting telah berlaku seperti kes Teoh Beng Hock, Ahmad Sarbaini Mohamad dan Hussain Ahmad Najadi.

Menurut Ahli Parlimen Temerloh itu, hampir semua kes sebelum ini mendorong ke arah isu-isu politik.

Justeru itu, kata beliau PAS berharap agar pihak berkuasa dapat menjalankan tugas without fear and favour supaya kes-kes seumpama ini dapat dibicarakan secara telus dan penuh integriti.

"Akhirnya, kebenaran tetap akan mengatasi kebatilan," ujarnya.

Pada masa yang sama, ujar beliau secara spiritualnya, negara ini perlukan rahmat dan berkat dari penciptanya iaitu Allah SWT agar musibah dan mala petaka sebegini makin berkurangan dan akhirnya lupus.

Tegasnya, pelaksanaan syariat Allah SWT dan memakmurkan syiar agama-Nya adalah antara yang perlu segera dilaksanakan oleh kerajaan dalam pemerintahan negara kita untuk mewujudkan keadilan, keamanan dan kesejahteraan. - HARAKAHDAILY 17/9/2015

Share on Myspace