Kuching, Samarahan sangat tidak sihat setakat 10 pagi

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Kuching dan Samarahan dilapor mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sangat tidak sihat setakat 10 pagi Khamis.


Menurut portal Jabatan Alam Sekitar (JAS), bacaan IPU di Kuching merekod bacaan 209 berbanding 204 dalam tempoh sejam.

Samarahan turut mencatat kenaikan bacaan kepada 207 berbanding 200 pada pukul 9 pagi.

Jabatan Pendidikan Sarawak pagi tadi telah mengeluarkan arahan untuk menutup sekolah di Kuching, Samarahan, Padawan, Lundu dan Bau setelah UPU mencatat bacaan tidak sihat.

Sekolah di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka yang ditutup Selasa dibuka semula hari ini. Sekolah juga ditutup semalam sempena cuti umum sambutan Hari Malaysia.

Sementara itu 12 lagi kawasan mencatat bacaan tidak sihat dengan IPU antara 100-200.

Ini termasuk Bandaraya Melaka (120), Bukit Rambai (124), Nilai (107), Port Dickson (109), Seremban (114), Kapit (135), Sarikei (111), Sibu (105), Sri Aman (129), Banting (114), Shah Alam (105) dan Putrajaya (105).

Sebanyak 25 lagi kawasan pula mencatat bacaan IPU sederhana pagi ini antaranya Balok Baru, Indera Mahkota dan Jerantut di Pahang; Seri Manjung di Perak; Keningau, Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau di Sabah; Pelabuhan Klang, Petaling Jaya, Cheras, Pasir Gudang, Tawau, Muar, Bintulu, Miri dan Limbang.

Kuala Selangor, Pelabuhan Klang dan Petaling Jaya di Selangor turut mencatat bacaan sederhana selain Kemaman, Kuala Terengganu dan Paka di Terengganu dan Batu Muda dan Cheras di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan.

IPU antara 0 dan 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan 300 ke atas berbahaya.

Orang ramai boleh merujuk portal http://apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa. - Bernama

Share on Myspace