Belanjawan Selangor 2016 dibentang 30 Okt

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Belanjawan Selangor 2016 akan dibentangkan di Dewan Negeri Selangor (DNS) pada 30 Oktober ini, kata Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.

Katanya, rizab simpanan negeri terkini berjumlah RM3.7 bilion hasil pertumbuhan ekonomi yang baik dengan pertambahan RM400 juta bagi tempoh 10 bulan tahun ini.

Beliau akan menumpukan kepada program pembangunan rakyat serta menolak segala permohonan baik pulih dan bangunan pejabat untuk Belanjawan 2016 yang masih dalam peringkat perbincangan.

“Saya mengambil ketetapan iaitu sebarang permohonan menubuh atau membangunkan bangunan atau pejabat baru dan ubah suai akan ditolak serta-merta kerana keutamaan adalah pembangunan rakyat," ujarnya dipetik Selangor Kini.

Beliau yang juga Timbalan Presiden PKR menyatakan demikian ketika menyampaikan ucaptama Mesyuarat Agung Tahunan PKR Cabang Gombak 2015 di Batu Caves, semalam.

"Kita berjaya menolak RM1.1 bilion yang dipohon jabatan dan agensi bagi membangunkan pejabat.

“Dalam suasana ekonomi yang parah, kita perlu berbelanja secara berhemah, bertanggungjawab dan terus memberikan impak positif kepada rakyat bukannya memberi keselesaan kepada segelintir pihak sahaja,” katanya lagi.

Share on Myspace