Rumah kekal: Kelantan hampiri sasaran 80%

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Sehingga awal September lepas sebanyak 279 rumah kekal mangsa banjir di Kelantan siap dibina, manakala 523 lagi sedang dalam pembinaan.

Bancian fasa pertama mendapati 1,827 rumah penduduk rosak sepenuhnya akibat bah besar akhir tahun lepas. Manakala fasa kedua 879 rumah dan ketiga 99.

Jurucakap kerajaan negeri berkata sebanyak 142 rumah kekal yang siap dibina dikendalikan badan bukan kerajaan (NGO), kerajaan negeri (80) dan kerajaan pusat (57).

Katanya kerajaan negeri juga sedang menyiapkan 156 rumah dan 244 lagi di peringkat pra pembinaan.

“Berdasar kepada jumlah tersebut sebanyak 480 rumah dikendalikan di bawah kerajaan negeri. Ia semakin menghampiri sasaran 600 rumah dibina bagi fasa pertama.

“Hanya 120 lagi rumah kekal yang disenaraikan dibina kerajaan negeri bagi mencapai matlamat tersebut. Ini bermakna kemajuan projek rumah kekal di bawah kerajaan negeri sudah menghampiri 80 peratus,” katanya di sini.

Sebelum ini Jawatankuasa Bersama Pasca Banjir menetapkan kerajaan negeri perlu membina 600 rumah dan 1,227 lagi dibina kerajaan persekutuan bagi projek fasa pertama.

Rumah kekal yang sedang dan siap dibina kerajaan pusat pula sehingga 1 September lepas sebanyak 464, di mana 228 unit dalam pembinaan manakala 179 lagi di peringkat pra pembinaan.

Berdasar jumlah tersebut kemajuan pembinaan rumah kekal di bawah kerajaan pusat sekitar 38 peratus daripada sasaran ditetapkan sebelum ini.

Bagaimanapun sehingga 1 September lepas masih terdapat 47 mangsa banjir yang mendiami khemah iaitu 34 keluarga di Pahi, Kuala Krai dan 13 lagi di Gua Musang.

Bilangan mangsa banjir yang mendiami khemah di Pahi lebih ramai disebabkan 12 rumah transit yang siap dibina tiada kemudahan elektrik dan bekalan air.

Di kampung tersebut juga 13 rumah kekal sedang dalam  pembinaan dikendalikan NGO dan JKR.

Jurucakap itu juga menjelaskan 13 mangsa banjir masih mendiami khemah di tapak projek Bandar Utama Gua Musang kerana enggan berpindah sementara ke kem Pusat Khidmat Latihan Khidmat Negara. - HARAKAHDAILY 17/9/2015

Share on Myspace