PAS Kapar tambah 3 cawangan baharu

SAIDAH HAIRAN | .

KAPAR: PAS Kawasan Kapar telah menubuhkan tiga cawangan PAS dengan penambahan keahlian dalam tempoh tiga minggu kempen menambah ahli.

Pengarah Pilihan raya PAS Selangor, Mohd Haslin Hassan berkata PAS perlu membuktikan kekuatan sebagai parti Melayu terbesar yang mampu menguasai pengundi Melayu pada pilihan raya umum nanti.

Katanya, memandangkan keadaan Umno yang semakin lemah PAS akan menjadi tonggak politik bagi menggantikan Umno yang selama ini menjadi teras BN.

Menurut beliau, PAS perlu membuktikan kekuatannya sebagai parti Melayu terbesar.

"PAS memang kuat, tegas dengan prinsip dan kita tidak perlu lain untuk menjatuhkan Umno dalam keadaan Umno sekarang yang semakin lemah," katanya pada Ijtimak PAS Kawasan Kapar, semalam.

Tambah beliau, masyarakat memang mengakui kekuatan PAS tetapi daripada aspek pengurusan dan strategi tidak tersusun.

Beliau yang juga Adun Tanjung Sepat berharap pimpinan dan ahli di semua peringkat perlu  menambah keahlian dan membuka cawangan di kawasan masing-masing.

"Tambah cawangan dan keahlian sangat penting bagi menjamin kekuatan PAS," katanya.

Tiga cawangan PAS yang ditubuhkan ialah Simpang Tiga Jalan Yadi, Kampung Delek Tengah dan Kampung Delek Selatan.

Turut hadir pada ijtimak itu ialah Ketua Pengarah Pilihan raya PAS, Datuk Mustafa Ali; Yang Dipertua PAS Kawasan Kapar, Ustaz Mohamad Noor Najihan; Adun Selat Klang, Dr Halimah Ali; Adun Meru, Dr Abdul Rani Othman.

Mustafa menyampaikan anugerah kepada PAS cawangan yang dapat menambah keahlian. - HARAKAHDAILY 17/9/2015

Share on Myspace