Ada orang perli PAS tak mahu menang

USTAZ ROSLI ABD. JABAR | .

SAYA tidak pernah mengalami situasi krisis begini, walaupun saya sempat bertentang mata dengan Allahyarham Tuan Guru Haji Yusof Rawa, Allahyarham Ustaz Fadhil Nor dan kini Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan berkesempatan menatap Harakah zaman keluaran tulisan jawi, mungkin masa itu saya remaja lagi, tidak ambil tahu sangat pasal krisis kepimpinan.

Apabila saya membaca tulisan Subky Latif saya dapati ada juga berlaku krisis namun itu semua berlaku ketika zaman yang saya tidak ambil tahu pasal kepimpinan, tahunya menampal poster, pasang bendera, panjat tiang letrik, pokok kelapa, dengar ceramah dan merutini kerja-kerja bertaraf kuli.

Sepanjang menyelusuri zaman tersebut saya melihat secara zahir keikhlasan para 'amilin PAS, bertungkus lumus bekerja tanpa balasan dunia, namun apa yang di dalam hati mereka, hanya Allah yang mengetahui. Mereka sanggup korbankan harta, tenaga dan masa demi perjuangan, malahan ada yang terkorban daripada kelangsungan rakusan kebencian hati Umno kepada PAS.

Semua ahli PAS jika ditanya, kenapa berada di dalam PAS, jawapannya hanya "kerana Islam", saya dewasa di dalam era kepimpinan ulama, teruja dihayun gelombang Tarbiyyah ketika usia belasan tahun dan ketika berlakunya 'Fenomena Haji Hadi'.

Ahli PAS itu mahunya hanya Islam, mahunya hanya dipimpin oleh ulama, kerana ulama itu pewaris Nabi. Kita sudah ketiadaan Nabi, maka mahunya ahli PAS, biarlah PAS ini dipimpin oleh waris-Nya iaitu ulama, tetapi bukan pula menolak yang bukan ulama, dari dulu pun, PAS dibangunkan bersama oleh golongan bukan ulama, sama ada golongan profesional hinggalah golongan penganggur sekalipun.

Yang ahli PAS mahu, kalau dia bukan ulama, biarlah dia golongan yang mencintai ulama. 'Kalau kamu tidak boleh menjadi ulama, jadilah orang yang belajar dengan ulama atau jadilah orang yang membantu ulama atau jadilah orang yang cinta pada ulama dan jangan kamu jadi golongan kelima', inilah pesan para ulama.

Jika mahu pisahkan Islam dan ulama dari PAS, seperti pisahkan nyawa dari badan, samalah juga sepertinya tidak boleh berpisah aqidah dan amalan, orang boleh berhujah macam-macam untuk keluar dari PAS, tetapi 'ahli tegar' PAS tak mungkin dipengaruhi, sebab mereka melihat Islam itu bukan sahaja dari sudut aqidah, tetapi juga amal, orang tidak nampak aqidah tetapi orang akan nampak terjemahannya iaitu amal.

Amal itu akan dinilai, sebab itu bukalah parti apapun, amal itulah akan menjadi panduan dan hujah, amalan pula bukannya boleh dijadikan lakonan, kalau berlakon pun tidak tahan lama, macam golongan munafik zaman Nabi, lama-lama zahir juga lakonannya.

Kita boleh buka parti lain, tetapi tidak boleh buka pintu syurga, semua parti tidak mampu membukanya termasuklah PAS, kerana itu milik Allah. Allah Ta'ala meletakkan syarat untuk orang yang mahu memasukinya iaitu "orang-orang yang beriman dan beramal soleh".

Bagi ahli PAS, kerja dalam parti itu adalah amal soleh, maka amal soleh itu mesti bertepatan dengan aqidah dan hukum syarak. Oleh sebab itu kalau berlaku krisis dalam PAS, isunya mesti agama, antaranya isu hudud. Matlamat perjuangan PAS ialah menang dengan redha Allah, walaupun ada orang perli 'PAS tidak mahu menang, tapi hendak redha Allah sahaja’, ada juga sebut 'lebih baik PAS tidak masuk politik, duduk di masjid sahaja untuk cari redha Allah.

PAS mahu menang dengan keredhaan Allah sebab itu di sepanjang jalan perjuangan kita kena pelihara aqidah dan pelihara amalan, Istiqamah dengan hukum syarak, kerana mati bila-bila sahaja, mungkin belum sempat menang kita mati dulu, kerana itu kena sabar dalam mempertahankan agama, tidak mengapa walaupun orang benci, sebab Allah hanya redha pada Islam. Maka kita mesti berada diatas jalan Islam meskipun orang benci kepada kita, sebab Islam itu tempat jatuhnya redha Allah.

Orang PAS sabar menunggu kemenangan bersama keyakinan bahawa 'Islam pasti menang', walaupun ada orang tidak suka kalimah ni, katanya kalimah ini adalah kalimah yang melambatkan kemenangan ditengah masyarakat majmuk sehingga ada yang menebas jalan pintas meskipun terpaksa "orait" kepada golongan yang tidak melihat hukum Islam itu sebagai hukum yang sangat adil.

Islam itu sifatnya sentiasa berkembang, cepat atau lambat bergantung kepada kesuburan tanahnya, kalau tanahnya subur dengan pusat pengajian, majlis ilmu dan ramainya ulama, maka cepatlah kelopaknya berkembang, kalau kurang subur maka lambat lah kembangnya, tetapi berkembang juga. Nak paksa kelopaknya terbuka sendiri tidak boleh, ia mesti melalui proses semaian, pembajaan dan penjagaan, suburkan tanah itu dengan ilmu, maka kelopaknya akan cepat berkembang. Lalu bagaimana mahu pisahkan Islam dan ulama'? Jawapannya, pastinya tidak boleh, sebab ulama itu penyubur kepada benih-benih Islam dan PAS itu berkembang dengan kesuburan Islam, iaitu tempat kuatnya majlis ilmu dan ramai ulamanya, maka di situlah 'kuatnya PAS'.

Umno sudah mencuba menghapuskan PAS sejak puluhan tahun lalu, tetapi tidak pernah berjaya langsung, malahan semakin lama semakin berkembang. Sebabnya sejarah telah membuktikan Islam itu sifatnya menjadi subur di tengah carut marut musuh. Ahli PAS pasti mati, tetapi Islam tetap hidup sebab yang kuat itu Islam, bukannya PAS. PAS hanya menumpang kekuatan Islam, jika PAS tetap berpegang dengan Islam, maka PAS akan terus kukuh, walau dibelasah setara mana sekalipun. Yang memukul keletihan, yang dipukul tidak mati-mati, itulah sifatnya Islam. – HARAKAHDAILY 17/9/2015

Penulis ialah Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang

Share on Myspace