Ladang Rakyat agih dividen hampir RM90 juta

SALMAH MAT HUSAIN | FOTO RIZAL TAHIR | .

KOTA BHARU: Mungkin ramai tidak menjangka sejak Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat diwujudkan pada 2006, hampir RM90 juta dividen diagih kepada lebih 4,500 peserta.

Dividen yang diagih itu hasil pembangunan ladang sawit berikutan kerjasama dengan syarikat-syarikat swasta.

Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat, Mohd Khairil Hazmie Yusof berkata sebanyak RM11 hingga RM12 juta setahun diagih dalam bentuk dividen kepada 4,853 peserta.

Katanya sejak 2006 sehingga September tahun ini sebanyak RM87.47 juta dividen diagihkan kepada peserta Ladang Rakyat.

“Setiap bulan peserta menerima dividen sebanyak RM200. Dividen dibayar tiga bulan sekali,” katanya ketika ditemui di pejabatnya hari ini.

Mohd Khairil memegang jawatan itu mulai 1 September lalu turut menjalankan kerja-kerja Ketua Eksekutif Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat.

Sebelum ini beliau bertugas sebagai Setiausaha Khas Sulit Kanan Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah.

Beliau juga berkata pihaknya bercadang mengadakan program Sedekad Ladang Rakyat pada Jun tahun hadapan sebagai simbolik 10 tahun penubuhannya.

“Kita akan menjemput semua peserta, bekas-bekas peserta yang kini sudah mampu berdikari pada majlis tersebut,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 17/9/2015

Share on Myspace