167 anak muda sertai PAS dalam tempoh sehari

KHAIRIL ABDUL RAHIM | .

Hazmi menyerahkan borang kepada Hishamuddin sambil diperhatikan oleh Zawawi.

TEMERLOH: PAS terus menjadi pilihan anak muda apabila untuk tempoh satu hari program Himpunan Anak Muda Merdeka (Himmah) Pahang kelmarin sahaja, seramai 167 orang daripada golongan tersebut mengisi borang keahlian PAS.
 
Borang permohonan keahlian itu diserahkan oleh Ketua Pemuda PAS Pahang, Ustaz Hazmi Dibok kepada kepada Adun Tepoh, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim yang juga ahli jawatan kuasa Dewan Pemuda PAS Malaysia pada program pidato perdana malam semalam.
 
Himmah dengan tema ‘Martabatkan Islam Selamatkan Malaysia’ anjuran Dewan Pemuda PAS (DPP) Pahang yang diadakan di Kompleks Al-Makmur, Kerdau pada sebelah pagi disertai kira-kira 1,500 anak muda.
 
Hishamuddin dalam ceramahnya berkata negara kini sedang menghadapi krisis ekonomi yang dahsyat sehingga menyebabkan pendapatan rakyat kini terjejas.
 
“Orang menyebut pada masa ini musim jerebu, apa kesannya? Tapi kita tengok daripada berniaga tepi jalan hinggalah kepada industri penerbangan semuanya terjejas, sama ada kita sedar atau tidak.
 
“Nelayan di tempat saya mengeluh dulu hanya bulan November dan Disember sahaja tak boleh turun mencari rezeki di laut tapi sekarang musim biasa pun tak boleh ke laut. Kesemua ini menyumbang kepada kemelesetan ekonomi.
 
“Keadaan dijangka akan bertambah getir, jadi sepatutnya dalam suasana ini kita kembali kepada Allah tetapi ekonomi negara masih berasaskan  riba,” katanya.

Katanya lagi, kemelesetan ekonomi menyebabkan rakyat hilang pendapatan.
 
Beliau berkata, bayangkan seorang pemegang ijazah pada masa ini tidak mampu untuk membeli tanah dan hanya mampu buat pinjaman untuk rumah berharga RM250,000 sedangkan rata-rata rumah teres dua tingkat kos sederhana sekarang ini berharga RM300,000.
 
Turut berceramah Adun Gunung Semanggol Ustaz Zawawi Hassan, wakil Hamas Palestin, Naji Assyarhi dan Hazmi Dibok. - HARAKAHDAILY 18/9/2015

Share on Myspace