Kenyataan Annuar bercanggah dengan Islam - Mapim

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengesa Tan Sri Annuar Musa menarik balik kenyataannya  yang memberi implikasi dan gambaran yang salah mengenai Islam.

Kenyataan Anuar Musa, ketika mempertahankan perhimpunan 16 September baru-baru ini apabila beliau menyatakan beliau adalah seorang rasis dan menambah dengan mendakwa beliau adalah rasis Islam.

"Dari mana Anuar mendapat fahaman ini. Dengan menyatakan pendirian tersebut seolah-olah beliau mendakwa dalam Islam ada fahaman rasisme. Apakah asas beliau untuk mengatakan wujud rasisme dalam Islam?

"Lebih berat lagi ialah  beliau telah menghina kesucian Islam sebagai agama yang mengajar sikap saling menghormati antara kaum," soal Presiden Mapim Mohd Azmi Abdul Hamid dalam satu kenyataan.

Jelas Mohd Azmi, perasaan marah kepada satu pihak yang kebetulan adalah satu kaum, tidak boleh dijadikan alasan untuk Anuar mengisytiharkan adanya rasisme dalam Islam.

Secara definisi, rasisme adalah sikap prejudis , diskriminasi atau menimbulkan rasa kebencian terhadap seseorang berasaskan bangsa dengan kepercayaan bahawa bangsanya sendiri adalah lebih tinggi darjatnya.

"Kami amat kesal keghairahan beliau untuk mempertahankan perhimpunan yang berbau rasis tersebut dengan alasan kononnya ada rasisme Islam," ujarnya.

Untuk mengelakkan kekliruan, Mapim menyeru agar pihak berkuasa agama dan para alim ulama mengeluarkan kenyataan supaya sikap ini perlu dibetulkan dan pernyataan  Annuar itu ditolak dengan tegas. – HARAKAHDAILY 18/9/2015

Share on Myspace