Tolak Najib bukan sebab bangsanya

HARAKAHDAILY | .

ORANG ramai menolak dan ingin menyingkirkan Najib bukan kerana bangsa dan keturunannya, tetapi disebabkan perangai dan kepimpinannya yang tidak boleh diterima lagi. Demikian tulis Shahbudin Husin dalam blognya.

Bagi Shahbudin, jika bukan Najib sebagai Perdana Menteri, tiada pembaziran, tiada kemewahan, tiada karenah isterinya yang berlebih-lebihan, tiada skandal 1MDB dan tiada derma RM2,600 juta yang sehingga kini tidak mampu dijelaskannya, mungkin semua yang berlaku sekarang tidak terjadi di depan mata kita.

“Masalah Najib tidak saja ditulis di media-media antarabangsa dan diterbitkan dalam bentuk rencana video, tetapi juga sudah menjadi fokus utama forum di peringkat antarabangsa.”.

“Satu-satunya sebab himpunan baju merah diadakan ialah untuk mempertahankan kedudukan Perdana Menteri, Najib Razak yang sedang bermasalah. Tidak perlu dihuraikan lagi apa sebenarnya masalah Najib sejak dulu hingga kini kerana seluruh dunia sudah memperkatakannya.

“Sehingga Umno jadi bergolak sekarang dan kemudian muncul pelbagai himpunan untuk menyatakan sokongan terhadapnya, kini masalah Najib sudah bertukar menjadi masalah negara pula.” Tulisnya lagi

Menurut Shahbudin, hanya kerana ingin mempertahankan Najib, hubungan kaum sudah jadi retak dan tidak seharmoni dulu lagi. Semuanya kerana perhimpunan baju merah yang bercorak perkauman dan menghina kaum lain telah dibenarkan berlaku seolah-olah penolakan terhadap Najib adalah berasaskan kehendak satu-satu kaum saja.

Jadi, apa kena mengena dengan maruah Melayu, Melayu bangkit, melakukan keganasan  dan kemudian ingin hak memiliki tapak berniaga di Jalan Petaling diselitkan dalam himpunan baju merah yang pada asasnya untuk mempertahankan Najib itu?

“Kenapa baru sekarang tapak berniaga di Jalan Petaling dibangkitkan?

“Siapa yang jadi kerajaan dan agensi mana yang mengeluarkan lesen perniagaan di Jalan Petaling itu?

“Jangan lupa juga tanya dengan Najib, sejak menjadi Perdana Menteri, kenapa Jalan Petaling antara tempat yang paling kerap dilawatinya?” tanya Shahbudin.

Selain itu, bukankah kawasan perniagaan Cina itu sudah lama muncul dan ada di seluruh dunia pun? Kenapa hanya di ketika Najib hampir lemas sekarang  baru tuntutan mahu meniaga di Jalan Petaling ini digegak-gempitakan dan tidak sejak dulu lagi?

“Tetapi dengan berlakunya himpunan baju merah dan keganasan yang dicetuskan di Jalan Petaling, keharmonian kaum dalam negara kita boleh dikatakan sudah hancur dan musnah. Ia menjadi lebih buruk kerana di sebalik semua kemusnahan itu tersembunyi Najib dan UMNO sebagai tunjang kerajaan yang menjadi punca segala-galanya.” Tegasnya lagi.

Beliau turut menyatakan bahawa Melayu sebenarnya tiada masalah dengan orang Cina dan begitulah juga sebaliknya. Semua kita saling memerlukan antara satu sama lain sejak dulu lagi. Kita tidak boleh hidup sendirian dan kemajuan seperti sekarang juga tidak mungkin dapat dicapai melalui usaha satu-satu kaum saja. – HARAKAHDAILY 18/9/2015

Share on Myspace