GHB dicabar bentuk kerajaan sendiri

SAIDAH HAIRAN | .

KUALA LUMPUR: PAS Selangor mencabar pimpinan GHB supaya membentuk kerajaan sendiri jika parti itu ditubuhkan untuk menumbangkan Umno-BN.

Setiausaha PAS, Mohd Khairudin Othman berkata GHB perlu membentuk kerajaan sendiri di negeri-negeri yang Pakatan Rakyat belum menang dalam pilihan raya.

Jika matlamat menubuhkan parti untuk menumbangkan Umno-BN soalnya kenapa hendak bertanding di kerusi yang sama dengan PAS terutama di Selangor dan Kelantan.

"Kenapa tidak tumpu negeri yang belum menang? Bertandinglah di Johor tubuhkan kerajaan GHB di Johor; tubuhkan kerajaan GHB di negeri Sembilan; Sabah dan Sarawak....silakan," tegasnya.

Beliau yang juga Adun Paya Jaras mencabar pimpinan GHB jika `gentlemen' jangan bertanding di Selangor; Kelantan dan Pulau Pinang.

"Jika menubuhkan parti GHB untuk menumbangkan Umno-BN tubuhkan kerajaan di negeri yang belum menang," tegasnya.

Di Selangor katanya, tidak ada rundingan langsung untuk GHB mengambil kerusi PAS.
Selain itu beliau turut mengingatkan pimpinan dan ahli GHB supaya tidak menggunakan taktik `memancing' atau mencuri ahli PAS ke parti baru mereka.

Beliau mempersoalkan kenapa ketika berada dalam PAS tidak menggunakan kempen menarik ahli Umno masuk PAS.

"Tariklah orang Umno masuk PAS kalau betul-betul hendak berdakwah. Ini bila masuk GHB tarik orang PAS," tegasnya.

Menurut beliau jika ahli PAS memilih sendiri untuk berada dalam GHB itu terpulang mereka tetapi jangan paksa orang lain dengan mengambil gambar mengatakan orang tersebut masuk GHB. HARAKAHDAILY 18/9/ 2015

Share on Myspace