Pro-M menang besar dalam PRK UIAM

AZZAN AZNAN ABDUL RAHIM | .

KUALA LUMPUR: We Unite For Islam (WUFI) / Pro-Mahasiswa di UIAM sekali lagi menjulang kemenangan dalam Pilihan Raya Kampus (PRK) bagi tahun 2015.

Dua puluh tiga (23) orang telah dipilih menjadi Students' Representative Council (SRC) bagi sesi 2015/2016 untuk mewakili mahasiswa UIAM.

Malang sekali ada pihak yang kelihatan sangat terdesak untuk memenuhi KPI yang diletakkan oleh 'orang atasan' mereka apabila cuba menyebarkan maklumat palsu dengan mengumumkan Pro-Universiti (calon tajaan pentadbiran) berjaya menawan UIAM.

WUFI berjaya menawan empat belas (14) kerusi daripada lapan belas kerusi (18) kulliyyah (fakulti) yang dipertandingkan. Lapan belas kerusi ini dipertandingkan dalam kalangan pelajar Malaysia manakala lima kerusi pula diperuntukkan bagi pelajar-pelajar antarabangsa.

PRK kali ini adalah yang pertama dalam sejarah yang dilangsungkan sepuluh (10) hari selepas semester bermula.

Namun, dalam masa persediaan yang singkat ini WUFI berjaya menyekat kemaraan proksi-proksi Umno di UIAM melalui campur tangan pihak pentadbiran.

Perjuangan dalam proses demokrasi kali ini tidak berhenti sebaik sahaja keputusan PRK diumumkan semalam, tetapi perlu difokuskan juga kepada proses pemilihan Office Bearer Students' Representative Council (SRC) terutamanya syura pemilihan Presiden SRC.

Hal ini kerana proses syura (pemilihan) Presiden mempunyai rekod hitam tersendiri apabila Datuk Mizan Hitam cuba untuk mencabul proses itu dengan memanipulasi undi dalam perlantikan Presiden dengan proses yang sangat meragukan. Senario pencabulan ini jelas kelihatan dalam proses syura Presiden bagi SRC sesi 2013/2014 dan cubaan ini gagal untuk sesi 2014/2015.

Di samping itu, WUFI juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada semua gerakan mahasiswa yang terlibat dalam PRK kerana memberikan persaingan yang sihat dalam proses demokrasi kali ini.

Sekalung tahniah juga diucapkan kepada rakan-rakan yang menjadi tulang belakang di sebalik kemenangan pada kali ini. Pengorbanan merekalah yang berjaya menyekat kemaraan campur tangan proksi Umno di UIAM.

Akhir sekali, kami yakin barisan SRC kali ini yang menggabungkan WUFI, Harmoni dan Bebas akan membawa suara mahasiswa ke peringkat yang lebih tinggi di samping terus berkhidmat kepada masyarakat UIAM dan rakyat Malaysia. – HARAKAHDAILY 18/9/2015

Share on Myspace