Kongres Rakyat, Unit Amal, OKU hargai kalian

MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF | .

SETIAP kali program-program massa berskala besar yang melibatkan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), seringkali saya ditanya oleh sahabat-sahabat OKU, bagaimana kami nak ikut serta? Biasa soalan-soalan sebegini timbul hanya kerana betapa mereka membanyangkan program tesebut tentunya akan dihadiri ramai orang.

Apa tidaknya, mereka cukup bimbang kehadiran yang ramai mungkin saja mendatangkan kesulitan atau kesusahan untuk mereka sampai ke sana dan mengikuti program dianjurkan dengan sebaiknya. Dengan kurangnya kemudahan untuk OKU pelbagai katagori di kebanyakan tempat, tentunya ia akan menyulitkan lagi akses mereka ke tempat tersebut.

Demikianlah dalam penganjuran Kongres Rakyat di Shah Alam seminggu yang lalu. Pertanyaan serupa diajukan kepada saya oleh sahabat-sahabat OKU yang berminat untuk turut serta dalam program diadakan.

Dengan keyakinan dan pengalaman lalu, mudah untuk saya menjawab pertanyaan dan menenangkan kebimbangan sahabat-sahabat saya. “Datang saja, pertolongan pasti ada, insya-Allah”. Itulah keyakinan yang dapat saya berikan kepada mereka.

Kesediaan penganjur untuk memartabatkan suara-suara rakyat termasuk dari komuniti OKU memberi keyakinan tambahan kepada saya untuk memberi suntikan semangat kepada sahabat-sahabat OKU yang bertanya.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah apabila apa yang diharapkan itu telah sedia dimaklumi dan diambil perhatian oleh penganjur. Ia ditambah pula dengan komitmen sahabat-sahabat Unit Amal yang sentiasa berada dalam keadaan yang siap siaga untuk berkhidmat demi Islam.

Beberapa peristiwa mungkin boleh saya kongsikan di sini, guna sebagai pengiktibaran pada masa hadapan. Moga Allah ganjari sahabat-sahabat penganjur dan sahabat-sahabat Unit Amal dengan ganjaran yang terbaik.

Pada hari penganjuran Kongres Rakyat, kami difahamkan lif yang ada tidak dapat berfungsi. Sebaik tahu keadaan tersebut, tiadalah yang saya harapkan melainkan moga Allah permudahkan segala urusan. Apatah lagi orang yang cukup ramai mungkin saja mendatangkan kesulitan berganda kepada sahabat-sahabat OKU yang hadir dari pelbagai kategori.

Apa pun, keyakinan saya hanya satu. Sahabat-sahabat penganjur dan sahabat-sahabat Unit Amal yang telah sedia terdidik dengan Islam tentunya tidak akan membiarkan kesulitan itu berpanjangan. Keyakinan dan sangkaan saya Alhamdulillah benar dan tepat.

Sebaik wakil pembahas daripada komuniti OKU, saudara Omar Abdul Aziz tiba, sahabat-sahabat Unit Amal telah pun bersedia untuk menyumbang bakti. Menunggu keadaan kesesakan orang ramai yang reda, saudara Omar Abdul Aziz sedia untuk dibawa ke tingkat atas ke dewan Jubli Perak, tempat berlangsungnya Kongres Rakyat. Bukan mudah dan bukan calang-calang bakti yang diberikan oleh sahabat-sahabat Unit Amal.

Biarpun mendaki tempat yang tinggi dengan kerusi roda yang bukan ringan, komitmen sahabat-sahabat Unit Amal hanya Allah yang layak membalasnya. Tidak terhenti di situ, khidmat sahabat-sahabat Unit Amal kepada komuniti OKU tidak terhenti di situ.

Dalam pada itu, sahabat-sahabat saya yang OKU penglihatan menyebut kepada saya betapa mereka mudah untuk masuk di tengah-tengah kesesakan orang ramai dengan bantuan Unit Amal. Khidmat sahabat Unit Amal terus diberikan hinggalah mereka keluar untuk pulang sebaik selesainya kongres.

Apa yang disebut kepada saya oleh sahabat-sahabat OKU, apabila sikap begini terus ditonjolkan oleh para petugas dan Unit Amal, sudah barang pasti OKU tidak serik dan akan berasa senang untuk menyertai program bila PAS terlibat dalam penganjuran.

Pada kesempatan inilah ingin saya merakamkan setinggi tahniah kepada sahabat-sahabat penganjur Kongres Rakyat dan sekalung tahniah kepada sahabat-sahabat Unit Amal atas khidmat gemilang yang telah dapat OKU rasakan. Kalian bukan sekadar telah menyumbang, lebih indah lagi sumbangan tersebut menyentuh hati dan perasaan sahabat-sahabat OKU yang datang.

Kepada seluruh pendokong dan penyokong PAS, jadikanlah apa yang saya nukilkan ini sebagai pembakar semangat untuk kalian tampilkan sikap prihatin dan peduli kepada setiap insan yang memerlukan di sekeliling. Islam yang sedia indah itu pasti akan dapat dirasai keindahannya apabila kita beramal dengan akhlak dan nilai insaniah yang sempurna. – HARAKAHDAILY 18/9/2015

Share on Myspace