Himpunan merah: Najib patut larang dari awal lagi

HARAKAHDAILY | .

PADA hari ini Datuk Seri Najib Razak menyatakan kerajaan tidak akan berkompromi perihal keselamatan, dan akan mengambil tindakan kepada mereka yang menimbulkan provokasi di dalam Himpunan 16 September.

Sepatutnya beliau daripada awal lagi melarang himpunan tersebut kerana ia tidak jelas dari segi matlamat. Kelibat beberapa anggota kabinet dan pimpinan Umno kelihatan dalam himpunan tersebut. Ia lebih kepada untuk mengalih isu negara yang melanda negara.

Himpunan yang  telah berlangsung dengan beberapa insiden yang tragis. Dinamakan "Himpunan Rakyat Bersatu" dengan memakai baju merah berlangsung di Padang Merbok di ibu negara pada Rabu lalu, diterajui Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka) yang dianjurkan sebagai tindak balas membantah perhimpunan Bersih 4 di kawasan sekitar Dataran Merdeka pada 29 dan 30 Ogos lepas.

Ungkapan yang tidak sedap didengar dan kain rentang yang tertulis dengan tulisan yang tidak patut ditulis kelihatan di dalam himpunan tersebut. Himpunan ini merosakkan sambutan Hari Malaysia yang  sepatutnya disambut dengan penuh harmoni dan mahabbah sesuai dengan masyarakat majmuk.

Himpunan yang lebih kepada emosi sahaja. Mereka tahu bahawa orang Melayu cukup termakan dengan emosi. Apa yang hendak diemosikan lagi.

Sepatutnya Umno yang menjadi tonggak kuasa mesti ada tindakan yang pro aktif untuk menaikkan taraf hidup orang Melayu. Pemimpin Umno kena suluh cermin dan letak tangan atas kepala mencari sebab kenapa Melayu tertinggal. Buangkan sikap diskriminasi kerana berbeza ideologi, mesti buta warna untuk membantu kepada mereka yang memerlukan.

Negara sudah 58 tahun merdeka dan sudah ada Sebelas Rancangan Malaysia. Tetapi ke manakah wang berbilion telah dihabiskan. Persoalannya, ke manakah orang Melayu sekarang?

Tindakan polis tidak membenarkan melalui Jalan Petaling satu langkah yang bijak. Lebih baik mencegah daripada mengubat. Berbagai-bagai kemungkinan boleh berlaku ketika emosi memuncak. Di dalam keadaan polis melarang itupun mereka yang tidak bertanggungjawab cuba membuat provok sehingga berlaku kekecohan.

Nasib baik tidak terjadi apa-apa yang lebih mudarat. Jika ada pula satu pihak yang menyambut provokasi tersebut maka sudah tentu akan menimbulkan suasana yang tidak diingini. Waktu itu yang kalah menjadi abu, yang menang menjadi arang.

PAS tegas menolak sebarang himpunan yang boleh mencetuskan keharmonian kaum dan mengganggu kehidupan masyarakat majmuk. - HARAKAHDAILY 18/9/2015

USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS

Share on Myspace