PAS Terengganu terima 4,198 ahli baru dalam seminggu

HARAKAHDAILY | .

DUNGUN: PAS terus menerima permohonan keahlian baharu selepas Muktamar Tahunan ke-61 yang berlangsung di Kuala Selangor, Jun lalu.

Pada malam ini, sebanyak 4,198 borang permohonan keahlian PAS dari seluruh negeri Terengganu diserahkan pada majlis pelancaran Himpunan Harapan Semua (Harap) 3.2 yang diadakan di Kampung Pulau Serai, dekat sini.

Permohonan itu diterima daripada PAS Dungun sebanyak 1,790, Besut (160), Setiu (193), Kuala Terengganu (356), Hulu Terengganu (222), Kuala Nerus (392), Kemaman (905) dan Marang (180).

Borang-borang itu diserahkan kepada Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang oleh  Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Saiful Bahri Mamat.

Hadir sama ialah Ketua Pengarah Pilihan raya PAS, Datuk Mustafa Ali, Setiausaha Majlis Syura Ulamak, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh dan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Saiful ketika menyampaikan ucapan alu-aluan berkata, jumlah permohonan keahlian baru itu diterima oleh PAS negeri dalam masa seminggu.

Beliau yang juga Adun Paka memberitahu, bagi PAS Kawasan Dungun pula berjaya mengumpul keahlian baru lebih daripada 1,700 dalam tempoh itu yang majoriti adalah anak muda.

Tegasnya, ini menunjukkan dalam suasana digoncang pada hari ini, masyarakat semakin kuat beristiqamah dengan perjuangan PAS. - HARAKAHDAILY 18/9/2015

Share on Myspace