Kita masih tahaluf dengan PKR - Mustafa

HARAKAHDAILY | .

DUNGUN: "Kita masih tahaluf dengan PKR, tapi dengan DAP dan parti baharu kita tak ada tahaluf," tegas Ketua Pengarah Pilihan raya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali.

Begitupun, katanya tugas menentang Umno BN adalah tanggungjawab PAS.

"Adapun tugas tentang Umno BN, itu tanggungjawab kita, sama-sama lawan. Kita lawan cara kita, dia lawan cara dia," jelasnya ketika berucap pada majlis perasmian Himpunan Harapan Semua (Harap) 3.2 di Kampung Pulau Serai, dekat sini malam tadi.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang merasmikan majlis tersebut. Turut berucap ialah Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Saiful Bahri Mamat dan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Yang Dipertua PAS Kawasan Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli.

Mustafa turut menjelaskan bahawa pendirian PAS itu turut dinyatakan pada pertemuan dengan pemimpin PKR termasuk presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, baru-baru ini.

Selain beliau, turut mewakili PAS ialah Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Takiyudin Hassan.

"Kita hanya tahaluf dengan PKR dan tak ada tahaluf dengan parti-parti yang lain," tegasnya lagi.

Walaupun begitu, katanya PAS tidak boleh memaksa PKR hendak mengadakan kerjasama dengan parti-parti lain. - HARAKAHDAILY 19/9/2015

Share on Myspace