Adakah akan sertai PAS, ini jawapan Khalid Ibrahim

HARAKAHDAILY | .

DUNGUN: Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sedang menunggu keputusan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) berikutan PKR memecat keanggotaannya dari parti itu.

"Buat masa ini saya ada beberapa isu dengan PKR," ujarnya kepada media ketika ditanya sama ada beliau akan menyertai PAS.

Beliau menyatakan demikian selepas majlis perasmian Himpunan Harapan Semua (Harap) 3.2 oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Kampung Pulau Serai, dekat sini malam tadi.

Pada pertengahan Ogos tahun lalu, Khalid menuntut ROS menyiasat sama ada keputusan lembaga disiplin dan majlis pimpinan pusat PKR melanggar perlembagaan parti.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu berkata, beliau merasakan berlaku ketidakadilan dikeluarkan daripada PKR.

Sehubungan itu, beliau meminta ROS untuk memberikan pandangan dan keputusan berhubung perkara itu.

"Saya sedang tunggu keputusan itu. Untuk itu saya kena jaga tatacara untuk kepentingan politik. Saya akan tunggu dulu," ujarnya yang juga Adun Pelabuhan Klang.

Khalid turut mengucapkan terima kasih kepada penganjur yang sudi menjemputnya hadir pada majlis perasmian Harap 3.2 itu.

"Saya sangat berbesar hati bahawa PAS sudi terima pandangan dan perhatian saya. Saya rasa perjuangan PAS dapat diteruskan dengan mereka yang berminat dengan Islam," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 19/9/2015

Share on Myspace