Najib puji himpunan merah, muslihat alih isu

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: "Mengapa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terus memuji perhimpunan baju merah yang berkiblatkan bangsa anjuran Umno pada 16 September yang lalu?" tanya Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Ini, katanya adalah sebahagian daripada taktik menukar padang dan mengalihkan perbualan rakyat secara tidak langsung agar rakyat terus terjerumus dalam kancah perdebatan perkauman yang tidak kesudahan.

Sebagai contoh, ujar beliau selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Najib tidak memberikan respons kepada tuduhan-tuduhan yang dilemparkan Wall Street Journal (WSJ) sehingga hari ini.

Katanya, antara dakwaan WSJ seperti duit 1MDB telah dimasukkan ke dalam akaun persendirian Najib, kehilangan dua jumlah duit sebanyak USD1.4 bilion dan USD993 juta di dalam transaksi pelaburan 1MDB dengan Abu Dhabi International Petroleum Investment Corporation (IPIC) tidak pernah dijawab atau diulas Najib.

"Yang ada hanya suara 1MDB memperlekehkan laporan tanpa menjawabnya secara telus dan terus," ujarnya dalam satu kenyataan.

Semua ini, kata beliau adalah taktik supaya rakyat berhenti berbicara mengenai 1MDB mahupun derma RM2.6 bilion.

Seeloknya, tambah beliau rakyat terus diumpan kenyataan-kenyataan kontroversi bertali arus daripada para pemimpin Umno untuk berdebat mengenai permainan perkauman di perhimpuan baju merah 16 September yang lalu.

"Media dinasihatkan juga jangan terperangkap dalam helah ini, dan kurangkan melapor kenyataan-kenyataan sensasi dan umpan daripada para pemimpin Umno mengenai perhimpunan baju merah," katanya lagi.

Sebaliknya, ujar beliau teruslah fokus pada isu yang melibatkan masalah rakyat.

"Berwaspadalah dengan permainan saraf ini," ujar beliau lagi. - HARAKAHDAILY 19/9/2015

Share on Myspace