JPN nafi bayaran proses MyKad naik

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menafikan bahawa bayaran proses MyKad dinaikkan dari RM10 ke RM50 seperti yang tersebar di media sosial.

JPN dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman sesawang rasminya Sabtu menyatakan maklumat yang tersebar tersebut adalah tidak benar.

"Sehingga kini tiada sebarang perubahan bayaran dikenakan ke atas permohonan MyKad," menurutnya.

Sehubungan itu, JPN mengharapkan kerjasama orang ramai untuk tidak mempercayai sumber berita dari laman sosial atau media tidak rasmi bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.

"Ingin ditegaskan bahawa sebarang penyiaran maklumat berkaitan kad pengenalan atau hal ehwal berkaitan jabatan ini hanya boleh disahkan oleh Ketua Pengarah Pendaftaran Negara dan Pegawai yang dilantik sahaja," menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, JPN memaklumkan penukaran MyKad adalah digalakkan namun ia bukanlah diwajibkan dan MyKad sedia ada juga masih sah diguna pakai.

Selain itu pengeluaran MyKad adalah merupakan perkhidmatan yang berterusan tanpa tarikh tutup dan tanpa sebarang tambahan bayaran.

Sehubungan itu, bagi sebarang maklumat yang berkaitan dengan JPN, orang awam dinasihat untuk melayari laman web rasmi JPN di www.jpn.gov.my atau menghubungi Pejabat Perkhidmatan Pelanggan JPN di talian 03 - 8880 7077 atau e-mel ke This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. . - Bernama

Share on Myspace