'Beri Umno berehat, kita dah beri 50 tahun lebih'

IZWAN ABDUL HALIM | .

DUNGUN: Sudah sampai masanya Umno direhatkan dan PAS diberi peluang memerintah dengan Islam yang akan menyelamatkan negara ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata Islam mesti diberi peluang memerintah sebagai agama yang tidak memaksa, sehingga tertegaknya konsep politik, ekonomi dan segala pelaksanaan menurut Islam dalam kehidupan manusia.

“Kita dah beri lama dah masa pada Umno, 50 tahun lebih. Oleh kerana itu, biarlah orang Umno beri rehat kepada parti dia.

“Beri Umno berehat, tengok PAS memerintah negara ini macam mana. Dengan tokoh-tokoh politik, ekonomi yang ada macam-macam ini, tengok macam mana kita nak memerintah dengan Islam," ujarnya ketika berucap merasmikan Himpunan Harapan Semua (Harap) 3.2 di Kampung Pulau Serai, dekat sini malam semalam.

Hadir sama ialah Ketua Pengarah Pilihan raya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali, Setiausaha Majlis Syura Ulamak, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Saiful Bahri Mamat dan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Pada majlis itu, beliau menerima 4,198 borang permohonan keahlian PAS dari seluruh negeri yang diserahkan oleh Saiful.

Beliau juga menyeru rakyat yang bukan Islam supaya tidak takut dengan Islam.

“Dan saya nak beritahu orang yang bukan Islam, jangan takut dengan Islam. Kalau orang bukan Islam boleh terima ideologi komunis, yang buat komunis ini Karl Marx. Karl Marx ini bukan orang Cina, bukan orang India, dia orang Yahudi Jerman," ujarnya lagi.

Tambahnya, begitu juga sebagaimana masyarakat telah menerima BN, MCA dan MIC yang menganut kapitalisma, sedangkan idealogi itu dipelopori oleh Adam Smith berbangsa Inggeris.

Justeru, kata beliau jika ada yang sanggup berjuang menegakkan ideologi asing itu, maka sewajarnya mereka juga boleh memberi peluang kepada Islam. - HARAKAHDAILY 20/9/2015

Share on Myspace