Pilihlah parti yang dasarnya sesuai dengan nafsu sendiri

USTAZ ROSLI ABDUL JABBAR | .

TADI seorang rakan menunjukkan gambar ditelefonnya kepada saya, "Ustaz, ni gambar kawan anta", saya melihatnya, gambar seorang rakan saya yang memakai pakaian rasmi PAN. Saya senyum sahaja, sebab saya pun sudah menduga yang dia akan ke sana, cuma tunggu masa sahaja, kini secara rasmi dia tinggalkan PAS.

Bukan semua orang yang tinggalkan kita, kita akan rasa sedih, mungkin ada orang yang kita rasa sedih dan mungkin ada orang yang kita lansung tidak rasa sedih, malahan ada orang yang kita suka jika dia meninggalkan kita. Namun Islam mengajar kita biarlah kita bertemu dan berpisah kerana Allah SWT, bertemu dan berpisah untuk kebaikan.

Allah SWT sangat mengasihi hambanya yang berjuang dalam satu saf yang tersusun rapi seperti sebuah bangunan, sifatnya adalah kuat menguat antara satu sama lain, 'wehdatul fikr', adalah teras kepada kesatuan sebuah jemaah, kerana itu dalam PAS ada usrah, inilah tujuannya.

Oleh itu apabila berada dalam jemaah, kita bukan sahaja mesti korbankan harta, masa dan tenaga malahan bersedia untuk korbankan perasaan, kerana jemaah pastinya tidak boleh mengikut kehendak kita, tetapi kitalah yang mesti mengikut kehendak jemaah.

Namun ada ahli yang sifatnya begitu, mahunya PAS mesti mengikut pandangannya, jika tidak rajuknya panjang, marah lentingnya tiada ubatan. PAS adalah sebuah jemaah, PAS bukan syarikat perniagaan yang hanya berfikir tentang untung rugi dunia semata, tapi semua keputusan mesti mengambil kira tentang maslahah dan mudarat, sama ada di dunia dan akhirat.

PAS tidak boleh ambil kira tentang keuntungan dunia semata, tetapi mesti mengambil kira sama keuntungan akhirat, jika berlaku pertembungan hingga terpaksa memilih antara keduanya, maka pastinya akhirat adalah keutamaan.

Namun bukan semua fahamnya begitu, kerana ahli PAS tu ada pelbagai jenisnya, ada yang masuk PAS kerana fahaman agamanya, ada yang masuk PAS kerana suasananya, ada yang masuk PAS kerana keluarga atau sahabat andai, ada yang masuk PAS kerana isu, ada juga yang masuk PAS kerana semangat membangkangnya.

Baru-baru ni ada seorang minta borang PAS, saya tanya kenapa?, dia kata sebab dia tengok orang PAS di tempat dia baik-baik belaka. Katanya, selalu ke Masjid dan selalu menolong orang, macam-macamlah sebabnya lagi.

Oleh sebab itu apabila berada dalam PAS, kita kena belakangkan perasaan kita, kalau semuanya mesti ikut kita, maka jalan terbaik ialah tidak usah berada dalam jemaah, kalau mahu bersama jemaah, kenalah korbankan perasaan kita, jangan rasa kita sentiasa betul sehingga menolak keberkatan yang terhimpun dalam berjemaah.

Merasa diri sentiasa betul adalah tidak betul. Orang ego tidak mungkin boleh kekal berjemaah, tidak kiralah duduk dalam parti apa pun,apa bila tidak boleh ikut tanzim jemaah pasti akan berantakan atau dia lari meninggalkan jemaah. Orang begini mahunya Islam itu mengikutnya, bukan dia yang mesti ikut Islam.

Sedangkan PAS sebuah Parti Islam, dasarnya Islam, setiap orang masuk PAS mesti ikut dasar PAS, kalau tidak suka dasar PAS, pilihlah mana-mana parti yang dasarnya sesuai dengan nafsu sendiri. Tetapi ingat, sesebuah negara pasti akan runtuh jika dasar pemerintahannya adalah daripada nafsu seseorang pemimpin, begitulah juga sebuah jemaah.

Oleh sebab itulah apabila bersama PAS, tanggungjawap kita ialah menguatkan PAS. Kalau tidak mampu kuatkan PAS, sekurang-kurangnya jangan menyusahkan PAS. Antara perkara yang menguatkan PAS ialah tasamuh dengan sebarang keputusan jemaah, meskipun hati tidak bersetuju.

Akal manusia ini berbilang pemikirannya, jika akal bertemu akal semata tanpa diawasi Iman, pastinya tiada kesudahan, hanya melahirkan perbahasan yang panjang tanpa perhentian yang akhirnya kadang kala mendorong kepada caci maki, lekeh-memperlekeh, hina menghina yang membusukkan.

Kadang kala sehingga melafazkan perkara yang membawa syirik. Itulah sifatnya akal apabila tidak dikawal oleh Iman. Tidak mungkin kesatuan boleh wujud jika kita hendak meraikan semua pemikiran, maka Islam tawarkan 'wehdatul fikr' atas titik penyatuannya yang sangat hebat iaitu al-Qur'an dan as Sunnah dan inilah dasar PAS. – HARAKAHDAILY 20/9/2015

Share on Myspace