Slogan 'Islam adalah penyelesaian' belum cukup

JUHANI RAHMAN | .

AMPANG: Perjuangan yang bersandarkan kepada slogan 'Islam adalah penyelesaian' tanpa kerangka pelaksanaan yang tepat dan menyeluruh masih belum cukup untuk mempengaruhi rakyat supaya menyokong PAS.

Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, sebaliknya rakyat sekarang ini mahu penjelasan yang tuntas bagi setiap masalah yang berlaku meliputi pelbagai bidang seperti ekonomi, pendidikan, perancangan bandar, perundangan dan sebagainya.

"Adakah sampai bila-bila kita hanya mahu cakap Islam adalah penyelesaian bila ada masalah yang berlaku. Masa Kongres Rakyat pun masih sebut slogan ini.

"Kalau orang tanya macam mana Islam menyelesaikan masalah, adakah kita pula mahu jawab tunggulah bila tiba masanya?" ujarnya semasa membentangkan kertas kerja Peranan Profesional Pasca Muktamar PAS 2015 dalam Wacana Golongan Profesional & Landskap Politik Terkini.

Sehubungan itu, beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor, menggesa parti itu segera membuat perubahan termasuklah menguruskan persoalan baharu seperti alam sekitar, pengurusan dan tidak berpaut kepada isu agama sahaja.

"Kita tidak mahu pimpinan buat kenyataan media yang tidak berpijak dengan realiti atau menumpang isu yang dibawa pihak lain. Kita kena cari dan gali isu baharu.

"Maka di sinilah perlunya golongan profesional dalam PAS bagi membentuk polisi yang lebih detil untuk ditawarkan kepada rakyat," ujarnya.

Tambahnya lagi, PAS juga perlu segera mencari nilai tambah untuk memastikan parti itu relevan bagi menghadapi cabaran politik yang lebih rencam apabila wujud sebuah parti politik yang baharu.

Bagi memastikan hasrat itu boleh dicapai, Iskandar menyarankan PAS menubuhkan institut penyelidikan yang lebih bersifat terbuka bagi memudahkan pihak lain menyumbangkan pendapat atau hasil kajian yang boleh dimanfaatkan.

Katanya, keperluan itu adalah mendesak memandangkan parti politik lain juga mempunyai badan penyelidikan masing-masing untuk merangka polisi.

"PKR ada Institut Rakyat, DAP ada Penang Institute, Kerajaan Negeri Selangor ada Institut Darul Ehsan, jadi kita juga perlukan sebuah badan penyelidik yang lebih terbuka. Kalau Pusat Penyelidikan PAS (PPP) mungkin agak tertutup," katanya. - HARAKAHDAILY 20/9/2015

Share on Myspace