Penjualan arak di Menara Felda dikecam

WAN NORDIN WAN YAACOB | .

KUALA LUMPUR: Tindakan pihak pengurusan Menara Felda membenarkan sebuah restoran di menara tersebut menjual minuman keras amat memalukan.

Pengerusi Lajnah Tanah, Peneroka Bandar Dan Orang Asal Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Roslan Md Esa berkata, tindakan itu memalukan warga Felda khasnya peneroka yang menjadi tulang belakang kewujudan Felda.

Bercakap kepada Harakah pada 20 September, Ustaz Roslan menyifatkan tindakan membenarkan restoran sedemikian beroperasi di Menara Felda melanggar harapan warga Felda.

Ramai kalangan warga Felda kata beliau beragama Islam dan tindakan itu bercanggah dengan prinsip dan hukum dalam Islam bahawa menjual meminum dan menghidang arak adalah haram.

Beliau menegaskan bahawa perbuatan ini adalah mungkar dan mesti ditentang oleh warga felda keseluruhannya.

Beliau yang juga anak peneroka Felda menyifatkan tindakan merelakan penjualan arak bererti merelakan dosa dan murka Allah ke atas diri.

Beliau seterusnya mendesak pihak pengurusan Felda dan Menara Felda melihat kembali kes tersebut.

Baginya keuntungan boleh dicapai oleh Menara Felda tanpa membenarkan premis yang jelas menjual arak beroperasi.

Katanya lagi, sekiranya pihak pengurusan tidak bertindak menghentikan operasi kedai terbabit, maka pihaknya tidak teragak-agak untuk berhimpun serta menyerah memorandum mendesak penutupan. – HARAKAHDAILY 20/9/2015

Share on Myspace