Jangan pecah jamaah kerana kecewa dengan seseorang

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: "Jangan sesekali engkau memecahkan jamaah ini semata-mata kerana engkau kecewa dengan seseorang," ujar Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau mengingatkan demikian kerana pendukung PAS diajar dan ditarbiyahkan bahawa penyertaan dalam jamaah ini adalah kerana Allah.

Berikut tulisan penuh beliau menerusi laman facebook.

Wahai anakku,
Janganlah kerana polemik politik ini menjadikan kamu jauh dari Allah dengan kesibukan kamu. Uruslah politik kamu agar selaras dengan tuntutan syarak, agar kesibukanmu menjadikannya ibadah yang menyelamatkan kamu dari kemurkaan Tuhanmu di akhirat. Lantaran itu, peliharalah akhlakmu sama ada waktu kamu suka atau kamu benci. Peliharalah tulisanmu, kata-kata dan ucapanmu agar ia tidak menjarakkan kamu dari rahmat Allah, dan memecahkan ukhuwah dalam jamaah.

Wahai anakku,
Perjuangan ini mempunyai pelbagai medan. Janganlah engkau memasuki sesuatu medan tanpa persediaan ilmu. Nanti kamu tewas dengan provokasi mereka yang sengaja mengujimu atau memperdayakanmu.

Janganlah kerana engkau kecewa dengan satu medan lalu kamu berputus asa dari jalan dakwah ini. Kerana akan tentu ada medan yang sangat sesuai untukmu. Mungkin medan politik akan menyesakkan nafasmu dan mengundang kekecewaan kamu. Tetapi medan dakwah, tarbiah atau medan kebajikan terbuka luas untukmu.

Apa yang penting jangan kamu meninggalkan medan jihad ini kerana di sinilah kita mengenali perjuangan, ketabahan dan kesabaran. Di sinilah, kita bertemu dengan teman sebenar, mengenali kasih sayang dan persahabatan. Di sini jualah kita ditarbiah oleh mereka yang telah membuktikan iman mereka kepada apa yang mereka ucapkan. Berbahagialah mereka yang telah membenarkan iman mereka kepada Allah, maka kita hanya menunggu giliran berikutnya.

Wahai anakku,
Jangan sesekali engkau memecahkan jamaah ini semata-mata kerana engkau kecewa dengan seseorang, kerana kita diajar dan ditarbiyahkan penyertaan kita kerana Allah. Thiqahlah kepada seseorang yang ilmunya lebih hebat dari kita, atau pengalamannya yang lebih lama dari kita atau kerana tuanya atau dekatnya dia dengan Allah atau banyaknya amalan dan hafalannya. Atau apa sahaja yang menjadikan engkau thiqah kepada seseorang.

Wahai anakku,
Janganlah engkau pisahkan mereka yang berada dalam perjuangan ini kerana tindakan engkau memisahkan mereka hanya akan mengundang perpecahan, perkelahian, putusnya hubungan dan silaturahim sesama jamaah. Alangkah baiknya kalau kamu sabar seketika gelombang fitnah sedang marak ini. Jangan kamu melawannya atau bersama dengan gelombang fitnah tersebut. Kesabaran mu yang sedikit ini lebih baik daripada kamu berpenat menanggung bebanan selepas berlalunya fitnah ini apatah lagi di akhirat nanti.

Senyumanmu akan mereda tekanan perasaanmu. - HARAKAHDAILY 21/9/2015

Share on Myspace