PM: Antara Pekan - Jalan Duta - Putrajaya sahaja!

SHAHBUDIN HUSIN | .

SELAGI Najib Razak masih kekal sebagai Perdana Menteri, keadaan dalam negara tidak mungkin menjadi lebih baik. Semua petunjuk ketika ini memperlihatkan segala-galanya akan bertambah buruk.

Najib mungkin dilihat berjaya menghalang siasatan di dalam negara terhadapnya melalui beberapa tindakan yang dilakukannya, tetapi penyiasatan di luar negara nampaknya semakin terbuka luas.

Sekurang-kurangnya dua negara iaitu Switzerland dan Amerika Syarikat melalui FBI dilaporkan telah memulakan siasatan terhadap Najib berkaitan 1MDB dan penggubahan wang haram berikutan wang RM2,600 juta yang mengalir masuk ke dalam akaun peribadinya.

Kiranya selama ini kita hanya biasa melihat dalam filem atau televisyen saja bagaimana FBI menjalankan kerjanya, semua itu mungkin akan menjadi kenyataan di depan mata kita tidak lama lagi. Lantas, jika berlaku, ia akan menjadi satu lagi sumbangan Najib kepada rakyat dan negara.

Berdasarkan beberapa laporan yang dibuat oleh Khairuddin Abu Hasan di London, Perancis, Hong Kong dan Singapura sebelum beliau ditangkap, tidak mustahil negara-negara tersebut juga akan membuat kertas siasatan yang sama.

Melalui perjalanan masa seminggu dua lagi, tidak menghairankan jika kita akan mendengar negara lain pula mengumumkan mereka akan turut membuka kertas siasatannya terhadap Najib.

Dengan begitu banyak kertas siasatan dibuka di peringkat antarabangsa, moral Najib sejujurnya telah berkecai, bukan saja di mata dunia, bahkan juga dalam pandangan majoriti rakyat Malaysia yang tidak terkelabu dengan dedak yang ditabur di sana sini.

Dalam masa yang sama, Tun Mahathir Mohamad mula membayangkan kemungkinan Najib akan ditangkap jika ke luar negara berikutan yang ingin menyoal-siasatnya kini adalah polis antarabangsa dan bukan lagi dalam kawalan pihak berkuasa dalam negara.

Tidak keterlaluan jika akhirnya Najib tidak berani ke mana-mana lagi di luar Malaysia. Mana-mana polis dunia atau Interpol hanya menunggu beliau berada di luar Malaysia saja untuk menahannya kerana di Malaysia mungkin tidak semudah itu untuk melakukannya.

Jika ditangkap tentu saja memalukan, ketidakberanian pergi ke luar negara juga tidak jauh bezanya. Apalah gunanya menjadi Perdana Menteri sebuah negara yang merdeka kalau ulang aliknya hanyalah antara Pekan, kediaman peribadi di Jalan Duta dan Putrajaya saja.

Tetapi yang lebih memburukkan ialah negara akan terus terperosok ke lembah kehinaan dengan satu demi satu siasatan yang dibuka itu. Sejak merdeka dan sudah ada enam Perdana Menteri sebelum ini, tidak ada sesiapa pendahulu jawatan itu yang pernah memalukan negara sebegini rupa.

Imej kita sebagai negara Islam dan sederhana yang begitu disanjung sebelum ini jadi lebih bermakna lagi dan mengalahkan penurunan nilai mata wang yang sedang berlaku.

Tidak seperti kemerosotan mata wang yang boleh diperbaiki, penyembuh kepada moral negara yang sedang menjunam itu ubatnya hanyalah dengan Najib sedia berhenti daripada jawatannya saja.

Dengan berhenti, bukan saja usaha memulihkan moral negara boleh diperbaiki melalui pemimpin baharu, malah Umno juga lebih mudah memperbaiki imejnya.

Tidak dinafikan sokongan pemimpin-pemimpin Umno terhadap Najib ketika ini lebih disebabkan mereka terikat kerana masing-masing sudah menerima habuan daripadanya. Beberapa pemimpin Umno seperti Shahrir Samad dan Ahmad Maslan yang didakwa menerima wang daripada Najib tidak menafikan perkara itu, bahkan bangga mengatakan "kalau bukan Presiden Umno tempat meminta bantuan, dengan siapa lagi mahu mendapatkannya."

Najib juga tidak menafikan mengenai bantuan yang diberikannya atas alasan tidak semua Ketua Umno Bahagian daripada golongan kaya dan berharta serta sesetengahnya hanyalah merupakan Penolong Pegawai Daerah saja sebelum menceburkan diri dalam politik.

Namun, dalam masa pemimpin Umno terhutang budi dengan bantuan Najib itu, mereka juga sebenarnya sedang sengsara kerana wang yang diterima bagaikan tidak sepadan dengan beban kemusnahan sokongan rakyat yang sentiasa meningkat dari semasa ke semasa.

Dalam bahasa yang mudah, onar Najib sehingga siasatan dibuka di peringkat antarabangsa, mungkin tidak boleh ke luar negara dan menjadikan sokongan rakyat kian rapuh, telah membuatkan  Umno dan negara seperti pesakit nazak yang hanya menunggu masa untuk tertanggal nyawanya.

Tidak ada-apa lagi yang boleh diperbaiki dan dipulihkan selagi Najib tidak berundur daripada jawatannya. Dengan sedia berundur pula, Najib sebenarnya akan menghadiahkan kegembiraan kepada semua kita.

Pengunduran Najib tidak saja akan membuatkan rakyat jelata,  mereka yang mahukannya berundur dan seluruh negara rasa gembira, bahkan percayalah, majoriti pemimpin Umno juga akan berasa lega dengan tindakannya itu. - shahbudindotcom.blogspot.my/

Share on Myspace