Pakatan Rakyat 2.0: Pendirian Presiden PAS didukung

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Penegasan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkait isu penyertaan PAS dalam Pakatan Rakyat 2.0 adalah didukung oleh seluruh saf kepimpinan PAS masa kini.

"Malah menyifatkannya sebagai keputusan yang tepat dan pintar," ujar Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan dalam satu kenyataan, sebagaimana di bawah.

Riuh rendah negara membincangkan situasi masa depan politik pembangkang apabila Presiden PAS, YB Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan tiada tahaaluf siasi (kerjasama politik yang diikat denga terma syarat) bersama pengkhianat.

Penegasan Tuan Guru Presiden PAS berkait isu penyertaan PAS dalam Pakatan Rakyat 2.0 adalah didukung oleh seluruh saf kepimpinan PAS masa kini. Malah menyifatkannya sebagai keputusan yang tepat dan pintar.

Ianya didirikan diatas beberapa noktah:

i - PAS masih dalam Pakatan Rakyat. Ini semua orang tahu. Kita hanya terputus tahaaluf dengan DAP tetapi tidak dengan Pakatan Rakyat yang masih mempunyai dua kompenan tahaaluf iaitu PAS dan PKR.

ii - Justeru itu tidak berbangkit isu Pakatan Rakyat 2.0 sementara komitmen PAS masih dalam Pakatan Rakyat.

iii - Pakatan Rakyat 2.0 belum wujud malah usaha mewujudkannya juga masih kabur dan PAS tidak berminat mewujudkan versi 2.0 itu kerana Pakatan Rakyat versi asal masih utuh dan apa yang perlu ialah mengukuhkan versi asal dengan komitmen yang sudah jelas sebelum ini dan membuat penerokaan baru yang efektif kepada Pakatan Rakyat.

iv - Usaha mewujudkan Pakatan Rakyat 2.0 turut melibatkan DAP dan Parti Pekerja Malaysia (yang diberi nama Parti Amanah Negara).

v - Sedang PAS baru sahaja dikhianati oleh DAP yang menyerang PAS dari segenap sudut termasuk mensasarkan peribadi Presiden PAS. Malah serang saraf dan provokasi DAP terhadap PAS belum berakhir sehingga hari ini.

vi - PAS tidak boleh bertolak ansur dan tidak boleh mengiktiraf sikap dan tindakan bekas pimpinan dan ahli PAS yang menikam PAS dari belakang, kemudian bertindak keluar PAS lalu menubuhkan parti baru untuk berdepan dengan PAS pula dipentas politik tanah air.

v - PAS tidak mahu ia menjadi precedent case kepada umum. Khianat kemudian diterima sebagai kawan. Khianat kemudian diterima sebagai kawan. Khianat kemudian diterima sebagai kawan. Precedent sebegini akan merosakkan kesejahteraan iklim politik negara justeru ia mengheret negara menghalalkan sebuah pengkhianatan politik.

vi - Pengkhianat mesti dikekalkan rasa bersalahnya disepanjang zaman sehingga ia menyesal dan kembali bertaubat kepada Allah swt. Mengiktiraf pengkhianat akan menghilangkan rasa bersalah mereka yang terlibat. Ini sangat tidak baik untuk sebuah perjuangan rakyat apatah lagi perjuangan Islam.

vii - Penegasan begini bukan angkuh namanya. Bukan sombong dan ego. Sebaliknya ia adalah penegasan yang berpaksi kepada prinsip dan maruah perjuangan. Ia dibuat dengan segala kerendahan diri kepada Allah swt yang memerintahkan kita agar memelihara kemuliaan Islam dan perjuangannya.

viii - Sementelah kompenan Pakatan Rakyat 2.0 sendiri masih dalam keadaan keliru dan dilemma. Parti yang baru ditubuhkan itu (mengambil alih parti lama) masih belum jelas hala tuju dan tidak diketahui umum perlembagaan partinya, kecuali mereka bermaksud meneruskan dasar dan perlembagaan parti lama itu sendiri sebagai Parti Pekerja Malaysia yang berhaluan kiri.

ix - Usahkan perlembagaan, nama parti yang baru pun belum disahkan secara muktamad oleh pendaftar pertubuhan.

x - Lebih mengelirukan, presiden parti baru itu sendiri jelas nyatakan sikapnya tidak perlukan PAS dan tidak yakin untuk bekerjasama dengan PAS dalam Pakatan Rakyat 2.0, timbalan presidennya pula berkata, marilah menyertai Pakatan Rakyat 2.0 dan naib presidennya pula berkata PAS adalah musuh politik no. 1 mereka.

xi - Ertinya, sesama mereka terlebih dahulu kena duduk berbincang dan bermusyawarah untuk mencari kesepakatan sebelum mengundang PAS apatah lagi untuk menganggap PAS sombong dan angkuh.

Penegasan YB Tuan Guru Presiden PAS tidak mahu PAS menyertai Pakatan Rakyat 2.0 itu sangat tepat dan pintar. Bukan kerana menganggap hanya PAS yang hebat dan PAS lebih baik dari yang lain, tetapi kerana tidak mahu menjadikan PAS sebagai sebuah parti yang tidak baik dan terjerumus dalam satu situasi yang keliru dan terumbang ambing dalam percaturan politik semasa sedang PRU14 semakin hampir.

PAS mempunyai pendekatan dan strategi tersendiri dalam menghadapi PRU14 dan berusaha memenanginya. Masih banyak ruang ijtihad dan tindakan politik yang boleh dilaksana dan direncanakan sebagai persiapan PAS mendepani PRU14 kelak. Ianya akan dihalusi, dicermati dan dimusyawarahkan sebaik mungkin.

Insya Allah, PAS tidak perlu mengikut lagak orang lain untuk berjaya dan menang di samping PAS mengalu-alukan mana-mana pihak yang mahu bersahabat dan mendukung cita-cita perjuangan PAS untuk sama-sama menghayun tangan melangkah kaki menuju kejayaan dan kemenangan di dunia dan akhirat. - HARAKAHDAILY 21/9/2015

Share on Myspace