Kerisauan yang membawa ketenangan di Sabah

DR ALIAKBAR GULASAN | .

 

PADA 19 dan 20 September merupakan giliran PAS Sabah menjadi tuan rumah bagi program besar Perhimpunan Istiqamah Hingga Kemenangan (Pihak 14.0) dan Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden.

Suasana semasa dalaman PAS, seperti yang diketahui umum, sedikit sebanyak tercalit rasa kerisauan akan kejayaan dan sambutan program seumpama ini.

Pun begitu, atas kebiasaan dan rutin dalam parti Islam ini, mesej daripada ucapan presiden dalam muktamar yang lepas mesti disampaikan ke akar umbi.

Seingat saya, program yang seumpama ini pada tahun-tahun yang lepas, kita meletakkan kehadiran ahli tidak pernah melebihi 350 orang.

Tahun ini Sabah mengadakan program ini di Sandakan.

PAS negeri secara berani mensasarkan jumlah kehadiran seramai 500 orang. Satu angka yang dicadangkan secara berani dan angka ini tidak pernah disasarkan sebelum ini.

Walau bagaimanapun, kerisauan lenyap dan timbul pula ketenangan dan kesayuan. Kehadiran untuk ceramah Pihak 14.0 dan Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden di luar daripada kebiasaan.

Dewan Pandu Puteri yang menjadi lokasi kedua-dua program ini penuh sesak. Penyokong dan pendukung PAS dari seluruh pelusuk negeri Sabah datang berbondong-bondong.

Kerusi dewan sejumlah 500 hanya berjaya menampung sebahagian daripada peserta. Sebahagian terpaksa berdiri dan duduk bersila di atas lantai.

Keadaan ini menghilangkan kerisauan dan menimbulkan ketenangan.

PAS Sabah tidak tercedera sebenarnya. Malah semakin kuat dan kukuh. Ditambah pula dengan penyerahan permohonan borang keahlian baru seramai 521 orang.

Memang benar PAS sebenarnya tidak tercedera. Hanya mereka yang matang sahaja akan terus istiqamah dalam perjuangan parti ini. Dan lebih ramai akan yang terus bersama PAS. - HARAKAHDAILY 21/9/2015

Penulis ialah Setiausaha Badan Perhubungan PAS Sabah.

Share on Myspace