PAS alu-alukan penggantungan The Edge batal

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: PAS mengalu-alukan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Asmabi Mohamad yang telah membuat keputusan membatalkan penggantungan penerbitan akhbar The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily kelmarin.

Keputusan itu jelas Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan, sekaligus menjawab tindakan Menteri Dalam Negeri yang telah menggantung permit akhbar berkenaan pada 23 Julai lalu kerana bermotifkan politik dan cubaan untuk menutup penyebaran maklumat mengenai isu-isu berkaitan 1MDB.

Katanya, sejak dari awal PAS telah mengecam tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menggantung permit akhbar berkenaan dan juga menyekat akses ke laman The Sarawak Report.

"Tindakan tersebut tidak menyelesaikan dakwaan-dakwaan terhadap skandal kewangan 1MDB sebaliknya memburukkan indeks kebebasan akhbar di negara ini," katanya kepada Harakahdaily.

PAS sentiasa menyokong kebebasan akhbar dan ia mesti mengikut piawaian yang betul dari aspek pelaporan berita, integriti kewartawanan dan tidak berpihak kepada kebatilan.

Tegasnya, perkara ini penting kerana media merupakan salah satu alat yang membentuk persepsi serta pengetahuan rakyat.

Pada masa yang sama, PAS turut mendesak supaya laporan siasatan forensik kewangan 1MDB segera diumumkan kepada rakyat dan tidak terus dibekukan.  

Malaysia menggantung permit penerbitan akhbar kewangan harian dan mingguan The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily kerana membuat pendedahan mengenai skandal dan salah urus kewangan syarikat pelaburan negara 1MDB yang melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Akhbar kewangan itu mengesahkan bahawa ia telah menerima surat daripada KDN memaklumkan mengenai penggantungan selama tiga bulan berkuatkuasa 27 Julai lalu berikutan laporan-laporannya yang berkaitan dengan 1MDB. – HARAKAHDAILY 22/9/2015

Share on Myspace