Sejarah PKINK, Kada yang perlu diketahui

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Mungkin tidak ramai yang perasan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) diwujudkan kerajaan PAS ketika ditadbir Datuk Mohd Asri Muda.

Agensi korporat milik kerajaan negeri itu mula beroperasi pada 10 November 1969 dan Mohd Asri merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah yang pertama.

PKINK antara beberapa agensi yang ditubuh kerajaan negeri di bawah PAS selepas era kemerdekaan.

Keupayaan kerajaan PAS juga dapat dilihat apabila berjaya membina Jambatan Sultan Yahya Petra, menubuh Rancangan Tali Air Kemubu (Kada).

Selain itu membina Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Kelantan (LKTN) dan Pusat Pengajian Tinggi Islam  Nilam Puri biar pun berdepan dengan kekangan kewangan dan tiada kerjasama kerajaan pusat.

Malah ada projek yang menyebabkan kerajaan negeri terpaksa mendapat pinjaman Bank Dunia bagi membina terusan sepanjang 500 batu, mulai dibina pada 1968.

Agensi-agensi terbabit antara lain membantu mempercepatkan pembangunan Kelantan dalam sektor ekonomi, pendidikan dan sosial.

Misalnya PKINK antara lain membantu menyediakan program dan infrastruktur ke arah melahirkan generasi usahawan yang berdaya maju.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata keupayaan kerajaan negeri mewujudkan prasarana tersebut membuktikan kemampuan PAS mentadbir Kelantan.

Menurutnya agensi-agensi pembangunan ekonomi diwujudkan bertujuan melahirkan usahawan Bumiputera yang berjaya dan berdaya saing.

Katanya juga PKINK mempunyai banyak kemudahan boleh merintis usaha membantu usahawan tempatan menceburi perniagaan yang tidak mampu dilakukan orang perseorangan.

Misalnya kata beliau, PKINK berkemampuan memulakan perniagaan perhotelan seumpama Perdana Resort dan setelah perniagaan itu berdaya maju boleh diserah kepada usahawan Bumiputera yang berminat.

“Selepas perniagaan berjaya syarikat tersebut boleh diberi peluang pengusaha yang berminat untuk mengambil alih. Sepatutnya agensi kerajaan jual syarikat yang mendapat untung.

“Hal ini kerana tidak ramai orang Melayu yang mampu memulakan perniagaan perhotelan kerana masalah modal. Oleh itu PKINK atau mana-mana agensi boleh rintis dan apabila berjaya diserah kepada pengusaha yang berkemampuan.

“Usaha seperti itu dilakukan bagi melahirkan lebih ramai usahawan yang berjaya dalam bidang perhotelan. Dan agensi kerajaan terlibat boleh buat hotel lain pula,” katanya.

Sebaliknya kata beliau pemikiran seperti itu bertentangan dengan amalan yang berlaku sekarang, yakni agensi kerajaan hanya menjual anak syarikat bermasalah.

Menurutnya juga amalan konvensional yang diamalkan sekarang setiap anak syarikat yang ditubuh kerajaan perlu mendapat keuntungan.

Sedangkan katanya sesetengah anak syarikat diwujud untuk membuat kajian dalam bidang baru yang mampu menyumbang kepada industri.

“Misalnya Kelantan Biotech Corporation membuat kajian dalam bidang bioteknologi sudah tentunya tidak mencatat keuntungan dalam jangka pendek.

“Kelantan Biotech juga melakukan kajian bagi menghasilkan madu kelulut, tisu kultur dan baja organik,” katanya.

Kata beliau juga budaya di Malaysia apabila sesebuah syarikat kerajaan tidak mencatat keuntungan dianggapnya sebagai lemah. – HARAKAHDAILY 22/9/2015

Share on Myspace