PAS Perak bersama pendirian presiden

ZULHAFEEZ AHMAD ZAHIDI | .

IPOH: Keputusan tidak bersama PR2.0 hakikatnya membuka banyak peluang kepada PAS untuk tetap mendekati orang bukan Islam khususnya kaum Tionghua.

Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria berkata, PAS adalah parti berbilang kaum yang membawa idealogi pemerintahan Islam dan sama sekali tidak terpengaruh dengan tekanan dan pendekatan lain.

"Keputusan ini bukan sahaja meluaskan dakwah serta pengaruh PAS, malah memberi lebih ruang kepada pemimpin kaum lain untuk bersama PAS dalam mengisi kekosongan ini.

"Jadi, PAS Perak menyokong penuh keputusan parti tidak bersama PR2.0 dan akan berusaha menguatkan parti  untuk bertanding lebih kerusi sebagai persediaan kerajaan menanti selepas PRU14 nanti," ujarnya 22 September.

Menurut beliau, tidak mustahil PAS boleh memerintah Perak secara bersendirian berdasarkan kepada perkembangan politik terkini.

Hal itu katanya, merujuk kepada peningkatan sokongan terhadap PAS, antaranya Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) menjadi jambatan penghubung terutama di kawasan dan perkampungan kaum Tionghua.

Ujarnya, ramai daripada kalangan masyarakat Tionghua bersetuju pendekatan PAS yang sederhana, berprinsip dan berintegriti.

Tambahnya, banyak pertubuhan bukan Islam telah menyatakan bahawa mereka lebih yakin dengan PAS.

"PAS juga sedang berusaha memperanankan pimpinan yang berprinsip untuk memikul tanggungjawab bakal diberikan oleh rakyat dalam menerajui pemerintahan negeri.

"Sejarah Kerajaan PR selama 11 bulan telah mematangkan dan mengajar rakyat Perak," jelasnya. – HARAKAHDAILY 22/9/2015

Share on Myspace