OKU penglihatan kesal tindakan Bank

HARAKAHDAILY | .

DUKACITA ingin kami menarik perhatian seluruh pihak berkaitan kepada suatu luahan rasa seorang OKU penglihatan saudara Mohd Shahir melalui laman Facebook beliau di alamat https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=816906151762127&id=100003282493809&comment_id=817182568401152&_rdr.

Dari apa yang disampaikan, ternyata sikap mendiskriminasi pengguna perkhidmatan kewangan yang merupakan OKU penglihatan terus berlaku dan masih diamalkan di institusi perbankan di Malaysia.

Pelbagai halangan dan prosedur yang tidak munasabah terus dikenakan kepada pengguna OKU penglihatan dengan alasan yang amat tidak munasabah dan tidak boleh diterima akal.

Dalam hal ini, kami amat merasa kesal atas kejadian yang menimpa saudara Mohd Shahir dan rakan-rakan senasib atas beberapa faktor dan pertimbangan:

i. Sikap diskriminasi terhadap OKU penglihatan oleh institusi-institusi perbankan dan insuran ini tidak harus berlarutan disebabkan telah banyak perbincangan dua hala antara wakil-wakil NGO berkaitan dengan pihak bank dan insuran.

ii. Seharusnya pihak penyedia perkhidmatan perbankan dan insuran telah sedia maklum situasi dan keupayaan pengguna OKU penglihatan pada masa kini.

iii. Harus diingat pada masa kini Malaysia telahpun menguatkuasakan Akta Orang Kurang Upaya 2008 (Akta 685) yang secara jelas menyatakan hak kesamarataan antara OKU dan warganegara sebagaimana yang dinyatakan dalam fasal-fasal muqadimah Akta tersebut.

iv. Peruntukan Akta tersebut yang memberi jaminan hak kesamarataan kepada OKU selaku warganegara adalah disandarkan kepada peruntukan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak sama rata kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa ada diskriminasi.
 
Justeru, kami menggesa untuk perkara-perkara berikut diberi perhatian oleh pihak-pihak berkaitan:
 
i. Penyediaan suatu garis panduan yang menyeluruh oleh Bank Negara Malaysia kepada seluruh penyedia perkhidmatan perbankan dan insuran agar amalan diskriminasi terhadap OKU penglihatan khususnya dan OKU umumnya dapat diatasi pada masa-masa hadapan.

ii. Kami juga menggesa agar seluruh pihak mengambil maklum perihal hak dan pembelaan kepada warga OKU umumnya dan OKU penglihatan khususnya yang telah sedia dijamin di sisi perundangan negara.

Sedaya mampu, selaku mewakili suara OKU di Malaysia, kami akan terus mengusahakan apa jua yang termampu demi menjelmakan hak-hak pembangunan OKU yang telah diperakui secara sejagat. – HARAKAHDAILY 23/9/2015

MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF
Pengerusi Sekretariat Prihatin OKU Malaysia

Share on Myspace