Pendidikan: Kembalikan “Perkara 15” di Sarawak

JOFRI JARAIEE | .

KERAJAAN Persekutuan (Kementerian Pelajaran) sepatutnya mengembalikan ‘Kuasa Autonomi’ berhubung Pelajaran kepada Sarawak seperti yang tersebut dalam perkara asas Pembentukan Malaysia dalam Perkara 15: Pelajaran “Sistem pendidikan yang sedia ada perlu dikekalkan di bawah kawalan kerajaan negeri”.
 
Sarawak perlu diberi kuasa autonomi dalam bidang pelajaran dimana kerajaan Sarawak boleh meningkatkan lagi prestasi pelajar dalam bidang pelbagai kemahiran. Pelajar zaman sekarang perlu menyiapkan diri mereka dengan berbagai bidang kemahiran atau kepakaran untuk masa depan mereka.
 
Seperti yang dinyatakan oleh Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem apabila terdapat pertukaran Menteri atau polisi yang berkaitan dengan pendidikan dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan, ia dilihat menjejaskan pelaksanaan pendidikan di negeri ini. “Setiap kali Menteri tukar, polisi pun bertukar dan akhirnya menjejaskan pelaksanaan pendidikan di Sarawak. Dasar pendidikan harus sesuai dengan generasi yang akan datang, banyak janji telah dibuat (Kerajaan Persekutuan) tetapi tidak dipenuhi sepenuhnya,” ujarnya.
 
Kerajaan Sarawak perlu wujudkan lebih banyak pusat pengajian tinggi yang boleh mengeluarkan tenaga mahir dalam berbagai bidang kemahiran untuk industri dan pertanian.

Sarawak mempunyai keluasan tanah sebesar Semananjung Malaysia dan mampu menampung lebih banyak lagi pusat pengajian tinggi yang dapat dimanfaatkan untuk rakyat Sarawak yang masih jauh ketinggalan dalam arus pembangunan.  Sarawak memang sesuai untuk dijadikan sebuah negara perindustrian dan pertanian secara moden untuk meningkatkan ekonomi dan pendapatan rakyat dan negara pada masa hadapan.
 
Dengan wujudnya pusat pengajian tinggi dalam berbagai bidang kemahiran untuk industri dan petanian ia boleh memberi peluang kepada pelajar yang tercicir dalam bidang akademi diserapkan kedalam bidang tersebut untuk memberi mereka peluang mendapatkan pekerjaan dalam bidang industri dan pertanian apabila mereka tamat belajar nanti.
 
Pelajar boleh memilih bidang kemahiran yang mereka minati dan apabila mereka tamat nanti mereka boleh keluar mencari pekerjaan atau bekerja sendiri dengan menggunakan kemahiran yang ada pada mereka.
 
Maka tidak timbul masalah pelajar atau graduan yang tidak fasih berbahasa Inggeris sukar untuk mendapat pekerjaan sebab kebanyakan syarikat swasta memerlukan pekerja mahir dalam berbagai bidang.

Walapun ada Menteri yang mengatakan Bahasa Inggeris adalah relevan, bukan Bahasa Malaysia tetapi dari sudut pekerjaan yang melibatkan kemahiran dalam perindustrian dan pertanian pengggunaan bahasa kebangsaan dan juga bahasa Inggeris kurang diambil perhatian. Mereka hanya perlu faham kehendak serta keperluan pihak syarikat untuk menyiapkan projek mereka dalam masa yang ditetapkan.
 
Memang tidak dinafikan mereka yang graduan dalam bidang akademik seperti bidang pengurusan memang perlu mahir dalam kedua-dua bahasa tetapi jawatan pengurusan dan pentadbiran amat terhad untuk diisi lebih-lebih lagi pada saat kegawatan ekonomi sekarang yang memerlukan lebih banyak kepakaran dan kemahiran dalam perindustrian dan pertanian.
 
Walaupun tidak dinafikan Bahasa Inggeris diguna secara meluas diperingkat global tetapi ada juga negara maju lain seperti Jepun tidak mengutamakan Bahasa Inggeris sebaliknya bahasa ibunda mereka tetap diberi keutamaan dalam bidang teknologi.
 
Ini sebenarnya bukan masalah bahasa tetapi cara pendekatan yang diambil oleh pihak kerajaan dalam sistem pendidikan negara sekarang yang kurang memberi keutamaan dalam bahagian Kemahiran dan Teknikal (BKT) yang merupakan salah satu bahagian yang diperlukan masakini.
 
Dengan perkembangan teknologi semasa serta keperluan tenaga kerja mahir dan separa mahir, maka pelbagai bidang dan program perlu diberi keutamaan bagi memastikan latihan kemahiran yang kini dikenali sebagai Pendidikan Teknikal dan Vokasional (PTV), dapat mengisi dan menyumbang keperluan tenaga kerja yang diperlukan oleh industri dan negara.
 
Pihak kerajaan juga perlu memperkenalkan skim pelbagai kemahiran baru untuk menyediakan satu laluan alternatif bagi industri untuk meningkatkan kemahiran pekerja berpengalaman.
 
Skim berbilang kemahiran dapat memenuhi keperluan pekerja khusus dalam pengurusan projek pembinaan utama. Ia bertujuan untuk membina satu kumpulan pekerja yang berketerampilan dalam bidang pengurusan projek pelbagai pembinaan untuk menjalankan lebih daripada satu jenis tugas kerja di lokasi. Majikan akan mempunyai fleksibiliti yang lebih besar dalam menggerakkan pekerja pelbagai kemahiran di tempat ini, dengan itu mengurangkan masa henti dan meningkatkan produktiviti mereka.
 
Kita juga ingin mencadangkan kepada Kementerian Pelajaran agar waktu belajar di sekolah diselaraskan dengan waktu kerja di pejabat untuk memudahkan para pelajar dan ibubapa yang bekerja dapat mengambil anak sekolah mereka tepat pada waktunya selepas waktu pejabat. Sekolah satu sesi pembelajaran dari pukul 8 pagi hingga 4 petang memberikan masa yang panjang kepada pelajar untuk belajar dan berinteraksi dengan guru mereka.
 
Di negara kita masih terdapat banyak sekolah yang tidak melaksanakan sekolah satu sesi kerana kekurangan bilik darjah dan kemudahan untuk belajar.  Sekolah satu sesi secara umum dipersetujui oleh banyak pihak kerana memberikan kemudahan kepada ibubapa serta kebaikan kepada pelajar. Gunakan masa sesi sebelah petang tersebut untuk mendidik mereka supaya jadi pelajar yang bermotivasi serta taat kepada perintah agama mengikut kepercayaan agama masing-masing.
 
Kerajaan Sarawak perlu mempunyai peruntukan bajet untuk menambahkan lebih banyak bilik darjah supaya memudahkan semua pelajar belajar dalam satu sesi persekolahan sekiranya mahu kuasa autonomi pelajaran diberi kepada kerajaan Sarawak. Mampukah kerajaan Sarawak memenuhi keperluan rakyat Sarawak nanti sekiranya kuasa autonomi diberi oleh kerajaan persekutuan dengan menggunakan peruntukan sendiri?
 
Kita amat bersetuju sekiranya kuasa autonomi Pelajaran bagi Sarawak dimanfaat sepenuhnya untuk kepentingan rakyat Sarawak tetapi jangan mengambil kesempatan untuk kepentingan pihak tertentu. Beri pelajaran percuma kepada rakyat yang miskin dan kurang berkemampuan agar mereka tidak ketinggalan dalam ilmu pengetahuan. Bina lebih banyak pusat pengajian tinggi yang mampu untuk rakyat Sarawak belajar tanpa perlu membayar kos yang terlalu tinggi seperti belajar di luar negara.
 
Satu perkara lagi yang perlu diberi perhatian oleh Kementerian Pelajaran ialah pendidikan agama Islam dikalangan pelajar Muslim supaya mereka tidak menyimpang dari ajaran Islam akibat terlalu terpengaruh dengan kebudayaan barat yang mementingkan materialistik yang tidak sesuai dengan ajaran Islam. Jadilah pelajar yang berguna untuk negara yang lebih seimbang antara dunia dan akhirat.
 
Perkara asas ini perlu diberi perhatian oleh pihak pemerintah supaya Sarawak mampu berdikari dalam sistem pelajaran yang setaraf dengan peringkat antarabangsa. Beri tumpuan kepada masalah rakyat terutama rakyat miskin yang kurang berpelajaran agar rakyat Sarawak menjadi insan yang berilmu dan berguna untuk agama dan negara. – HARAKAHDAILY 23/9/2015

Penulis ialah Pesuruh Jaya PAS Sarawak

Share on Myspace