Kerajaan Selangor tidak tergugat - PAS

ASLANI M | .

KOTA BHARU: PAS menegaskan Kerajaan Selangor tidak tergugat biarpun parti itu tidak mempunyai hubungan politik lagi dengan DAP.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Kerajaan Selangor masih lagi mendapat sokongan majoriti dan tidak ada apa-apa masalah.

Katanya hubungan yang berlangsung sekarang bukan atas kapasiti parti sebaliknya sebagai ahli Dewan Undangan Negeri.

“Lagipun Menteri Besar Selangor sekarang mendapat sokongan majoriti jadi tidak timbul kerajaan Selangor tergugat.

“Wakil PAS memberi sokongan kepada Menteri Besar.. jadi kerajaan Selangor tidak tergugat. PAS bekerjasama sebagai anggota kerajaan.

“Exco PAS adalah atas nama kerajaan biar pun mereka mewakili PAS. Begitu juga PKR atau DAP. Mereka adalah anggota kerajaan. Jadi kita bekerjasama atas isu-isu kepentingan rakyat,” katanya pada persidangan media di kediaman rasmi Menteri Besar di sini malam tadi.

Sebelum itu diadakan mesyuarat Dewan Harian PAS Pusat yang dipengerusikan Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Hadir sama kesemua 11 anggota termasuk Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Media hari ini melaporkan Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali berkata pembentukan gabungan Pakatan Harapan hanya sebagai perancangan politik bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14.

Oleh itu katanya gabungan baru PKR bersama DAP dan Parti Amanah Negara tiada kaitan dengan pentadbiran kerajaan Selangor.

Takiyuddin berkata PAS mengekalkan kerjasama dengan PKR sebagaimana diputuskan pada muktamar lepas.

Menurutnya PAS tidak pernah memutuskan hubungan dengan PKR dalam muktamar.

“Selepas muktamar lalu kita hanya mengesahkan putus hubungan dengan DAP. Yang memutuskan hubungan itu ialah DAP.

“Kita hanya mengesahkan hubungan itu putus, tetapi dengan PKR usul Dewan Ulamak muktamar adalah jelas mengekalkan hubungan dan kerjasama politik dengan PKR,” katanya.

Beliau juga berkata PAS Pusat berbincang panjang lebar mengenai perkembangan politik negara termasuk penubuhan pakatan baru, Pakatan Harapan.

Bagaimanapun kata beliau, PAS mengambil ketetapan tidak  membuat komen yang panjang sekarang kerana pakatan itu baru sahaja ditubuhkan.

Namun tegas beliau PAS tetap komited menentang ketidakadilan BN selaras dengan resolusi dicapai pada Kongres Rakyat yang didukung 200 NGO dan beberapa parti politik.

“PAS komited menentang dan penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh pemimpin BN.

PAS juga sedang melaksanakan pelan tindakan bagi merealisasikan tema kongres iaitu Membina Malaysia Sejahtera,” ujarnya.  

Selain itu PAS menghormati hak mana-mana pihak merangka agenda politik sendiri.

“Walau bagaimanapun PAS tidak akan terlibat dengan Pakatan Harapan sebagaimana dinyatakan sebelum ini.

“PAS akan menumpukan usaha ke arah pemerkasaan parti dan melebarkan sokongan rakyat kepada perjuangan PAS di seluruh negara,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 23/9/2015

Share on Myspace