Pakatan Rakyat sekarang PAS dan PKR

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Setiausaha Agung PAS menjelaskan kehadiran mana-mana pemimpin yang dikaitkan dengan PAS pada persidangan meja bulat penubuhan Pakatan Harapan semalam bukan atas kapasiti parti itu.

“Ini kerana kita telah nyatakan dengan jelas PAS tidak hadir dan tidak terlibat dengan persidangan meja bulat itu,” kata Datuk Takiyuddin Hassan.

Anggota parlimen PAS Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar dilaporkan hadir pada persidangan meja bulat pelancaran Pakatan Harapan semalam.

Turut hadir pada persidangan itu bekas timbalan menteri, Datuk Saifuddin Abdulllah. Bagaimanapun Umno telah menghantar surat tunjuk sebab kepada bekas anggota parlimen Temerloh tersebut.

Takiyuddin berkata Mahfuz hadir pada program tersebut bukan atas kapasiti PAS.  

Ditanya pemberita mungkinkah bekas Ketua Penerangan PAS Pusat itu akan dikenakan tindakan disiplin, katanya “Itu perkara lain, kita akan tengok selepas ini. Beliau tidak mewakili PAS pada program itu”.

Bercakap di sidang media di JKR 10 malam tadi beliau juga berkata dari segi politik PAS masih lagi memerlukan hubungan antara satu sama lain.

“PAS mempunyai peranan yang tersendiri, PAS pernah bersendirian dan PAS pernah bersama rakan kongsi politik. Sekarang PAS bersama PKR.

“Dalam suasana yang ada sekarang kita masih meneruskan kerjasama dengan PKR.

“Dalam Pakatan Rakyat dahulu ada three partnership tetapi sekarang satu partner left jadi masih lagi tinggal dua. Pakatan Rakyat masih lagi wujud antara PAS dan PKR,” katanya.

Beliau yang juga anggota parlimen Kota Bharu berkata PAS cuba meraih sokongan dengan apa sekali pun termasuk kerjasama mantap bersama PKR.

Bagaimanapun tidak semestinya kerjasama dengan PKR bagi meraihkan sokongan daripada orang bukan Islam memandangkan PAS ada Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

“DHPP disertai kaum Cina, India dan Siam. Hubungan dengan PKR sebagai partner yang dapat memantapkan lagi agenda politik kita,” katanya.

Beliau juga sekali lagi menjelaskan tidak pernah terlintas di fikiran pemimpin PAS untuk bekerjasama dengan Umno atau Barisan Nasional bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Itu never cross tidak pernah terlintas di fikiran kita. Lagi kita sudah ditetapkan PAS menentang ketidakadilan BN. Itu tidak timbul langsung,” tegasnya. - HARAKAHDAILY 23/9/2015

Share on Myspace