Fastakim berbeza himpunan baju merah, kuning

ASLANI M Foto ZAMANI MD ZAIN | .

KOTA BHARU: Himpunan Fastakim (60,000 orang) 17 Oktober ini berbeza dengan himpunan baju merah dan baju kuning sebelum ini, kerana ia bertujuan menghayati kebangkitan dan beristiqamah terhadap perjuangan Islam.

Ketua Penerangan PAS Pusat Ustaz Nasruddin Hassan berkata perhimpunan itu sebagai suatu usaha bagi memastikan sokongan padu masyarakat kepada perjuangan dibawa PAS.

Katanya, ia sebagai lambang perpaduan umat Islam bagi menyemarakkan kembali semangat juang dalam kalangan anggota dan penyokong PAS.

“Kita mahu mengembalikan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan bangsa serta menggerakkan perubahan ke arah Malaysia yang sejahtera dan selamat daripada ancaman ekonomi serta ketidakadilan politik.

“Fokus kepada kesepaduan rakyat secara umum. Non Muslim pun dijemput yang digerakkan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP),” katanya pada persidangan media di JKR 10 malam tadi.

Himpunan Fastakim akan diadakan  pada 17 Oktober ini bertempat di Stadium Sultan Muhammad Ke IV Kota Bharu.

Sebelum itu iaitu pada 3 Oktober pula diadakan Perhimpunan Istiqamah Hingga Kemenangan (PIHAK) di Markas PAS Rantau Panjang.

Pada 30 dan 31 Ogos lepas himpunan anjuran Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 4.0) diadakan di Kuala Lumpur bertujuan menuntut pembaharuan pengendalian pilihan raya di Malaysia.

Manakala 16 September pula Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) menganjur Himpunan Rakyat Bersatu yang didokongi Umno.

Nasruddin yang juga anggota parlimen Temerloh berkata semua pihak termasuk PKR diundang menyertai perhimpunan tersebut.

“Baru-baru ini saya pun dengar kumpulan baju merah hendak turut sama, namun mereka belum menghubungi kita lagi.

“Sikap kita jelas menjemput semua pihak yang mahu menyokong dan bersama perjuangan yang kita bawa,” tambahnya.

Menurut beliau juga Kelantan dipilih sebagai tuan rumah memandangkan  kebetulan sambutan Jubli Perak pentadbiran di bawah ulama dan sempena 60 tahun usia PAS.

Oleh itu beliau menjangka himpunan itu akan memberi kesan positif kepada kerajaan Kelantan.

Katanya, program Himpunan Fastaqim yang digerak sejak sebulan lalu diharap mendapat sokongan seluruh ahli dan penyokong PAS di seluruh negara.

Kata beliau kehadiran pada perhimpunan itu membolehkan peserta mendapat amanat dan motivasi perjuangan daripada pemimpin.

Pada perhimpunan terbabit akan diadakan pelbagai aktiviti termasuk kesenian Islam, program anak-anak muda dan munajab perdana.

“Ia memastikan keutuhan dan kekuatan parti. Kita harap mereka yang menyokong dan mendokong perjuangan PAS hadir beramai-ramai bagi memberi satu kekuatan baru,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/9/2015

Share on Myspace