Polis buru 4 mat rempit berlumba di Kesas

BERNAMA | .

SHAH ALAM: Polis masih memburu empat penunggang motosikal yang dipercayai terbabit dalam kegiatan lumba haram di Lebuhraya Shah Alam (Kesas), awal pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat berkata empat suspek berkenaan merupakan antara lima penunggang motosikal yang dipercayai berlumba di lebuh raya tersebut sehingga menyebabkan berlakunya kemalangan dalam kejadian pukul 5.15 pagi itu.

"Seorang daripada lima penunggang itu yang berusia 26 tahun kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang kerana patah tangan selepas gagal mengawal motosikal dan terjatuh.

"Polis akan mengambil keterangan mangsa apabila dia disahkan dalam keadaan stabil oleh doktor," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pada Selasa, rakaman video mengenai kegiatan lumba haram itu tersebar luas di laman sosial beberapa jam selepas kejadian berlaku.

Rakaman itu menunjukkan lima penunggang motosikal sedang berlumba sebelum empat daripada mereka terjatuh kerana gagal mengawal motosikal selain turut melanggar sebuah kereta jenis Proton Exora.

"Saya sahkan di sini, tiada penunggang yang maut dalam kejadian itu...kita percaya gambar yang tersebar (dalam laman sosial) serta menunjukkan penunggang cedera parah dan maut di tempat kejadian adalah gambar daripada kes berlainan," katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan polis menahan dua lelaki warga Amerika Latin kerana disyaki menjadi anggota sindiket pecah rumah di Selangor dan beberapa negeri lain.

Shafien berkata kedua-dua suspek berusia 30-an itu ditahan dalam serbuan di sebuah hotel di Kuantan, Pahang pada 10 Sept lepas.

"Kedua-dua suspek sebelum ini terlibat dalam tiga kes pecah rumah di sekitar daerah Shah Alam...hasil risikan dan intipan, kita berjaya menjejaki kedua-dua suspek itu di Kuantan.

"Dalam serbuan tersebut, polis turut menemui alatan untuk pecah rumah iaitu pemotong besi, spanar boleh laras dan pemutar skru serta barangan dipercayai hasil kegiatan jenayah seperti kamera, telefon bimbit dan beberapa jam tangan pelbagai jenama," katanya.

Katanya, modus operandi suspek ialah bergerak menggunakan kenderaan yang disewa selain berselindung dengan pas pelajar untuk melakukan aktiviti jenayah di negara ini.

Kesemua suspek direman sehingga Ahad ini. - Bernama

Share on Myspace