Pengorbanan syarat nusrah Allah

HARAKAHDAILY | .

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar... Walillahilhamd

Saya mewakili Dewan Ulamak PAS Pusat ingin merakamkan ucapan tahniah kepada mereka yang sedang menjalani ibadah haji di bumi suci Mekah Al Mukarramah. Kami mendoakan agar mereka pulang dalam keadaan mereka disucikan daripada segala dosa sepertimana sabda Rasulullah s.a.w:

من حج لله فلم يرفث ولم يفسق رجع كيوم ولدته أمه. متفق عليه.

Maksudnya:Barang siap a yang melaksanakan ibadah haji, dan dia tidak melakukan الرفث  (hubungan diwaktu terlarang) dan tidak melakukan perbuatan fasiq (maksiat) maka ia akan kembali seperti saat ia dilahirkan oleh ibunya” (Muttafaqun alaihi)

Begitu juga Dewan Ulamak merakamkan tahniah kepada mereka yang tidak berkesempatan menunaikan haji kerana masih dapat melakukan dua ibadah yang besar iaitu berpuasa pada hari Arafah yang mana ganjarannya sepertimana yang disebut di dalam hadis yang sudah kita sedia maklum pembalasannya iaitu penghapusan dosa setahun yang lepas dan setahun yang mendatang. Begitu juga kepada mereka yang melaksanakan ibadah yang sangat penting iaitu mengorbankan binatang ternakan sebagai tanda pengabdian kepada Allah s.w.t.

Pengorbanan mereka yang menunaikan haji dan mereka yang berada di selain tanah haram memberikan pengajaran yang besar kepada umat Islam bahawa kemenangan Islam akan menjadi realiti apabila ada dalam diri kita semangat pengorbanan yang tinggi kerana agama Allah s.w.t.

Tanpa pengorbanan daripada umatnya, maka kita akan terus menerus dijajah serta dizalimi oleh mereka yang tidak gerun kepada ancaman Allah s.w.t.

Dengan pengorbananlah menyebabkan musuh-musuh Islam berasa takut dan gerun kepada kehebatan Islam. Bahkan ianya merupakan satu perniagaan yang ditawarkan oleh Allah s.w.t kepada mana-mana hambaNya yang beriman sepertimana yang disebut di dalam surah as Saf:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَى تِجَارَةٍ تُنْجِيكُمْ مِنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ (10 تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَتُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ (11 يَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَيُدْخِلْكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ وَمَسَاكِنَ طَيِّبَةً فِي جَنَّاتِ عَدْنٍ ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ (12 وَأُخْرَى تُحِبُّونَهَا نَصْرٌ مِنَ اللَّهِ وَفَتْحٌ قَرِيبٌ وَبَشِّرِ الْمُؤْمِنِينَ (13

(10) Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? (11) (Yaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya, (12) niscaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam syurga Adn. Itulah keberuntungan yang besar.(13) Dan (ada lagi) karunia yang lain yang kamu sukai (yaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman.

Demikianlah betapa peri pentingnya  pengorbanan harta dan diri kita untuk melayakkan diri kita memperolehi pertolongan serta nusrah daripada Allah s.w.t di samping diberikan ganjaran di dunia dan juga di akhirat.

Semoga setiap pengorbanan kita di atas dunia ini diletakkan dalam timbangan yang berat di sisi Allah s.w.t.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar... walillahilhamd

Beristiqamah Hingga Kemenangan

Datuk Dr Mahfodz Mohamad
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
10 Dzulhijjah  1436H
24 September 2015 - HARAKAHDAILY 24/9/2015

Share on Myspace