Keputusan PAS tepat tak sertai persidangan meja bulat

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Perjumpaan antara PAS dengan PKR di Pejabat PKR pada 15 September lalu langsung tidak dimaklumkan tentang adanya persidangan meja bulat pembangkang.

Menurut Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man persidangan meja bulat pembangkang dimaklumkan kemudian, dan pada awalnya ia diberi gambaran bahawa persidangan itu sekadar sebagai perbincangan isu melibatkan kepentingan rakyat.

"Namun apa yang berlaku tenyata persidangan itu mempunyai agenda lain," ujarnya dalam satu kenyataan.

Pada persidangan itu, katanya laporan pelbagai media mendedahkan ada pihak tertentu yang tergesa-gesa mengumumkan kelahiran gabungan baru iaitu Pakatan Harapan.

Tambahnya, dakwaan itu lebih terserlah dan seolah-olah dibenarkan melalui pengisytiharan serta-merta kerajaan Pulau Pinang sebagai kerajaan Pakatan Harapan oleh DAP Pulau Pinang.

"Tindakan sepantas kilat itu telah menambat persepsi di minda rakyat mengenai siapa sebenarnya perancang utama di dalam pakatan yang baru ini," ujarnya lagi.

Oleh itu, tegas beliau keputusan PAS tidak menyertai persidangan meja bulat pembangkang pada 22 September terbukti tepat.

Apapun, pada waktu ini, katanya PAS sebagai parti pembangkang terbesar, tidak akan terlibat dalam Pakatan Harapan kerana PAS tidak mempunyai hubungan politik dengan DAP dan juga Parti Pekerja @ Amanah.

Beliu berkata, PAS akan terus mara ke hadapan bersama Islam dan menguatkan jentera parti bagi menuntut perubahan total bersama rakyat Malaysia untuk merehatkan Umno BN sebagaimana yang ditegaskan Presiden PAS. - HARAKAHDAILY 24/9/2015

Share on Myspace