Pemuda PAS rakam takziah insiden rempuhan di Mina

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merakamkan takziah kepada semua keluarga jemaah haji yang meninggal dunia akibat rempuhan yang berlaku di Mina hari ini.

Hingga saat ini, dilaporkan lebih daripada 300 orang jemaah haji telah meninggal dunia akibat insiden tersebut manakala angka tepat masih dalam siasatan lanjut pihak berkuasa.

"DPPM berharap agar siasatan segera dapat dilakukan oleh pihak berwajib khususnya kerajaan Arab Saudi memandangkan insiden ini adalah antara yang terburuk melibatkan jemaah haji dari seluruh dunia setakat ini," ujar Ketua Penerangan DPPM, Ahmad Fadhli Shaari dalam satu kenyataan.

Bahkan, katanya jika dikaitkan dengan insiden kejatuhan kren tempoh hari, tahun ini boleh dikatakan merupakan tahun tragedi bagi jemaah yang menunaikan haji di Tanah Suci.

Sehubungan itu, ujar beliau DPPM menggesa agar aspek keselamatan dapat dipertingkatkan demi keselamatan jemaah haji di masa hadapan.

Tambahnya, post mortem secara telus dan terperinci wajib dilaksanakan segera bagi mengenal pasti punca sebenar nahas tersebut.

"Takziah sekali lagi kepada keluarga semua mangsa yang terlibat dari seluruh dunia.

"Semoga Allah SWT mengurniakan pahala dan ganjaran yang berpanjangan atas kesabaran terhadap musibah yang dialami ini," ujarnya. - HARAKAHDAILY 24/9/2015

Share on Myspace