Kaji semula projek pembangunan di tanah bukit

SM MOHAMED IDRIS | .

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab untuk mengkaji semula projek-projek pembangunan di kawasan bukit di Pulau Pinang terutama di beberapa buah kawasan yang ada dalam radar rancangan pembangunan akan datang.
 
Mengulas beberapa kejadian banjir lumpur yang melanda kawasan Paya Terubong, Relau, Bayan Baru dan Sungai Dua, SAM berharap pihak-pihak tersebut perlu mengambil iktibar dari apa yang telah berlaku yang mana ia jelas menunjukkan bahawa pembangunan di kawasan tanah bukit membawa implikasi kepada alam sekitar dan seterusnya kesejahteraan manusia.
 
Selain itu runtuhan tanah dilaporkan turut berlaku di Bukit Gambier yang hampir melibatkan kawasan perumahan yang berdekatan. Antara punca masalah-masalah ini adalah disebabkan oleh kerja-kerja pembangunan atas tanah bukit.  

Kami bimbang jika perkara ini tidak ditangani dengan sewajarnya, stiuasi yang sama akan berlaku di kawasan-kawasan lain yang berada dalam pelan rancangan pembangunan di tanah tinggi.
 
Kejadian yang telah berlaku amat membimbangkan kerana faktor keselamatan penduduk adalah tidak terjamin walaupun pemaju mengatakan bahawa mereka mengikut setiap garis panduan yang diberikan oleh pihak berkuasa.
 
Garis Panduan Pembangunan di Kawasan Bukit Pulau Pinang 2012 (Penang Guideline for Hillsite Development 2012) telah digubal untuk menangani dan mempertingkatkan langkah-langkah keselamatan dan merangka prosedur pelaksanaan projek dan penguatkuasaan yang berkesan.   

Mukadimah garis panduan menyatakan bahawa dengan pelaksanaan yang sempurna, garis panduan ini akan memberi keyakinan terhadap keselamatan pembangunan di kawasan bukit di Pulau Pinang.
 
Namun dari penelitian SAM, projek perumahan di lereng bukit adalah melibatkan pemotongan cerun di kawasan berbukit yang mengganggu khazanah alam semula jadi tersebut. Gangguan kepada ekosistem ini menyebabkan kawasan bukit tersebut tidak stabil serta pergerakan tanah, hakisan dan kegagalan cerun juga akan berlaku.
 
Pihak berkuasa juga perlu mengambil kira kajian kesan kumulatif pada keseluruhan kawasan dan bukan hanya tumpu kepada kawasan cerun yang berpotensi berlakunya tanah runtuh.  

SAM berharap agar pihak-pihak yang bertanggungjawab lebih peka terhadap perkara ini dan mengambil langkah sewajarnya demi perlindungan alam sekitar dan kesejahteraan awam. - HARAKAHDAILY 25/9/2015
 
Penulis ialah Presiden SAM.

Share on Myspace