Najib perlu letak jawatan Menteri Kewangan

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS bertegas bahawa Datuk Seri Najib Razak perlu melepaskan jawatan Menteri Kewangan dan penasihat 1MDB dengan serta-merta.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ini supaya kedua-duanya tidak lagi bercampur-aduk dan pihak Kementerian Kewangan dapat mengambil tindakan sewajarnya ekoran nasihat daripada Gabernor Bank Negara.

"Apakah Najib bimbang tanpa beliau sebagai Penasihat 1MDB mahupun Menteri Kewangan, 1MDB tidak mampu bertahan daripada siasatan yang cuba dijalankan pelbagai pihak?" tanya beliau dalam satu kenyataan.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Berita-berita negatif mengenai negara Malaysia terus datang berpusu-pusu sehinggakan Pengerusi CIMB, Datuk Nazir Razak melahirkan kebimbangan mengenai masalah kewangan yang sedang dialami negara.

Semalam, Moody Corp’s telah mengeluarkan satu carta perbandingan yang menunjukkan Malaysia dikategorikan di dalam ‘junk’.

Negara yang mendapat taraf ‘junk’ adalah negara yang mempunyai jurang terbesar antara penilaian rasmi kreditnya oleh agensi antarabangsa dan apa yang ditunjukkan melalui aktiviti kredit yang sebenarnya.

Dengan berita siasatan terhadap pengaliran dana haram yang dikaitkan dengan 1MDB di seluruh dunia terutamanya laporan Wall Street Journal dan New York Times, hasilnya nilai Ringgit menjunam mencecah RM4.40 kepada USD1 dan menghampiri RM3.10 kepada SGD1.

Sebelum ini, Gabenor Bank Negara Tan Sri Akhtar Zeti Aziz berkata nilai Ringgit akan pulih sekiranya isu 1MDB dijawab dengan sepenuhnya.

Sedihnya saranan Zeti langsung tidak disambut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selaku Menteri Kewangan malah dibiarkan dicemuh oleh 1MDB.

Sikap membisu Najib menonjolkan bahawa seluruh Kementerian Kewangan dan beliau tidak dapat bertindak dengan adil kerana Najib masih bertugas selaku Penasihat 1MDB.

Bahkan, ia memberikan gambaran yang sangat negatif kepada kewangan negara apabila Menteri Kewangan lebih mempercayai kata-kata satu syarikat yang dinasihati beliau daripada gabenor bank sendiri.

Oleh itu, PAS bertegas bahawa Najib perlu melepaskan jawatan Menteri Kewangan dan penasihat 1MDB dengan serta-merta supaya kedua-duanya tidak lagi bercampur-aduk dan pihak Kementerian Kewangan dapat mengambil tindakan sewajarnya ekoran nasihat daripada Gabernor Bank Negara.

Apakah Najib bimbang tanpa beliau sebagai Penasihat 1MDB mahupun Menteri Kewangan, 1MDB tidak mampu bertahan daripada siasatan yang cuba dijalankan pelbagai pihak? - HARAKAHDAILY 25/9/2015

Share on Myspace