Jalan Petaling seperti biasa, tiada perhimpunan

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Aktiviti perniagaan dan santai di lokasi pelancongan Jalan Petaling di ibu negara berjalan seperti biasa hari ini dengan kehadiran ramai pengunjung biarpun ada pihak sebelum ini merancang mengadakan perhimpunan di kawasan itu.

Keadaan lalu lintas di sekitar lokasi yang turut dikenali sebagai 'Chinatown' itu juga sibuk, dengan orang ramai meluangkan masa membeli-belah di ibu negara selepas umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha pada Khamis lepas.

Suasana tenang di lokasi itu dipastikan dengan kehadiran ramai anggota polis yang mengawal dan memastikan ketenteraman awam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainol Samah berkata setakat petang ini aktiviti perniagaan di sekitar Jalan Petaling beroperasi seperti biasa.

"Kehadiran elemen kumpulan Baju Merah tidak dikesan di kawasan Jalan Petaling atau Bukit Bintang. Rondaan dan pemerhatian oleh pihak polis diteruskan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Pemimpin Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang dilihat turut meninjau keadaan di Jalan Petaling, dan mereka rata-rata tidak bersetuju dengan penganjuran sebarang perhimpunan berlandaskan perkauman di negara ini.

Pengerusi Gerakan Wilayah Persekutuan Wilson Lau Hoi Keong memberitahu pemberita perhimpunan seumpama itu tidak seharusnya diadakan kerana ia akan menjejaskan perniagaan selain mencalar imej Malaysia.

"Ia boleh menjurus kepada tercetusnya masalah perkauman dan mempunyai elemen menakut-nakutkan peniaga di kawasan tumpuan pelancong itu," katanya.

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar pula menyifatkan tidak ada tempat bagi pihak yang cuba membangkitkan isu perkauman dalam masyarakat Malaysia.

Turut kelihatan memerhatikan keadaan di Jalan Petaling ialah Naib Pengerusi Gerakan Datuk Dr Asharuddin Ahmad dan Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Polis malam tadi menahan Pengerusi Gabungan NGO Melayu Malaysia Datuk Jamal Md Yunos mengikut Seksyen 105 Kanun Prosedur Jenayah berhubung kenyataannya tentang kemungkinan berlaku rusuhan di Jalan Petaling.

Sebelum ini, polis memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan huru-hara di lokasi itu.

Dalam pada itu, peniaga itik panggang, Amy Choong, 40, berkata beliau tidak khuatir kerana kehadiran polis memastikan keselamatan dan keamanan terkawal.

Penjual bunga, Shanti Andalam, 62, berkata beliau pada mulanya menjangka akan menutup kedainya jika keadaan menjadi tidak menentu, namun langkah itu dilihat tidak perlu.

"Kita boleh lihat ramai polis jadi tidak perlu bimbang. Kita jalan perniagaan macam biasa," katanya.

Pemilik farmasi, Ng Chee Yat, 50, memuji kesungguhan polis dalam memastikan keadaan kekal aman.

"Pihak polis menjalankan tugas mereka dengan baik. Kami perlu memberi pujian kerana mereka berusaha untuk hadir bagi memastikan ketenteraman awam," katanya.

Perhimpunan itu dilaporkan dirancang bagi membantah antaranya kehadiran peniaga asing di kawasan itu selain daripada penjualan barangan tiruan dan larangan.

Selasa lepas, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mhd Amin Nordin Abd Aziz berkata pihaknya tidak membenarkan sebarang perhimpunan di kawasan Jalan Petaling atau mana-mana kawasan lain yang dilihat boleh menganggu ketenteraman awam. - Bernama

Share on Myspace