Tiada jemaah M'sia terbabit kebakaran khemah di Mina

MOHD SHUKRI ISHAK | .

MAKKAH: Satu kebakaran yang dilaporkan berlaku pada Jumaat di khemah penempatan jemaah haji di Mina tidak membabitkan jemaah Malaysia, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata dalam kejadian pada petang Jumaat itu, ia berlaku di perkhemahan jemaah haji dari Mesir dan dipercayai berpunca daripada sebuah dapur berdekatan perkhemahan itu.

'"Tiada jemaah haji Malaysia terlibat. Semua anggota keluarga jemaah haji di tanah air tidak perlu risau kerana mereka semua berada dalam keadaan baik,'' katanya dalam satu kenyataan di sini, Sabtu.

Menurut berita dalam laman web Mesir, Al-Youm al-Sabea, satu khemah milik jemaah haji Mesir terbakar semasa mengerjakan ibadah haji pada Jumaat.

Laporan itu menyebut lapan jentera bomba dan penyelamat segera dikerahkan ke tempat kejadian, dan anggota bomba berjaya memadamkan kebakaran itu tidak lama kemudian.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan juga tahap kemusnahan di dalam kejadian itu setakat ini. - Bernama

Share on Myspace