Jerebu: Sekolah di Johor, T'ganu, Kelantan dibuka esok

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Sekolah-sekolah di Johor, Terengganu dan Kelantan dibuka seperti biasa esok selepas berakhirnya cuti persekolahan selama seminggu, memandangkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) setakat 4 petang ini masih di bawah 200 di seluruh negara.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan di sini, hari Sabtu menyatakan jabatan pendidikan negeri dan pejabat pendidikan daerah bagi negeri-negeri berkenaan perlu memantau maklumat bacaan IPU yang dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh pihak berwajib.

Sekiranya berlaku perubahan terhadap bacaan IPU kepada keadaan tidak sihat (IPU 101-200) atau sangat tidak sihat (IPU 201-300), pihak berkenaan boleh mengambil tindakan di peringkat masing-masing berdasarkan Surat Siaran KPM Bil 17 Tahun 2-13 bertarikh 7 Ogos 2013 [Langkah-langkah Kementerian Pendidikan Malaysia Bagi Menjamin Kesihatan dan Keselamatan Murid-murid di Sekolah-Sekolah Yang Berada Dalam Kawasan Berjerebu Yang Dianggap Kritikal].

Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar, setakat 6 petang ini, lapan kawasan mencatatkan IPU baik, 27 kawasan (sederhana), 16 kawasan (tidak sihat).

IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Di JOHOR BAHARU, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Md Jais Sarday meminta pengetua dan guru besar sekolah-sekolah di negeri ini supaya sentiasa berkongsi maklumat semasa mengenai jerebu bagi memudahkan ia dimaklumkan kepada pelajar dan ibu bapa.

Ini sebagai langkah berjaga-jaga dalam memastikan kesihatan pelajar dan kakitangan berada di tahap sihat, katanya dalam laman Facebook beliau hari Sabtu.

Pengarah Jabatan Pendidikan Johor Aminudin Adam pula berkata jika bacaan IPU meningkat semula hingga mencapai 200 di empat kawasan yang sebelum ini terjejas teruk akibat jerebu iaitu Pasir Gudang, Kota Tinggi, Muar dan Johor Baharu, pihak pengurusan sekolah boleh menutup sekolah esok.

Beliau berkata bagi kawasan yang mencatat bacaan IPU 155, sesi persekolahan adalah seperti biasa namun semua aktiviti di luar bilik darjah perlu dihentikan.

Setakat 5.30 petang tadi, bacaan IPU di empat kawasan itu menurun dengan Pasir Gudang mencatatkan 83, Kota Tinggi (64), Muar (95) dan Johor Baharu (83), katanya kepada Bernama di sini. - Bernama

Share on Myspace