6 bulan selepas GST, harga tidak turun-turun

IRFAN ES | .

Dari dulu sehingga kini
kita gigih berusaha
sumbangan bakti yang kecil
nilai tinggi tak terhingga.

Dari kita rakyat Malaysia
bergandingan berusaha
susah dan senang bersama
untuk kita kekal unggul

Cukai barang dan perkhidmatan (suara latar: GST)
cukai yang berubah wajah (suara latar: GST)
wujud di merata dunia
kini di Malaysia (suara latar: GST! GST!)…

6 bulan selepas 1 April 2015, lagu di atas tidak kedengaran lagi. Begitu juga iklan-iklan di billboard dan di badan-badan bas serta teksi yang merupakan sebahagian daripada RM365 juta dana dibelanjakan bagi promosi dan persediaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Meneliti Indeks Harga Pengguna (Consumer Price Index) Malaysia, dapat dilihat peningkatan ketara sejak April 2015, berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya. Ini menunjukkan adanya kenaikan kos yang drastik pada harga barangan dan perkhidmatan asas, seperti makanan, pakaian, pengangkutan, kesihatan dan pendidikan, sejak GST dikuatkuasakan.

Perlu diambil perhatian bahawa bacaan ini diperoleh meskipun terdapat kritikan terhadap pembahagian wajaran (weights) dalam market basket yang diguna pakai dalam pengiraan Indeks Harga Pengguna. Dengan kata lain, kenaikan kos sebenar adalah lebih besar berbanding yang tertera dalam indeks tersebut.

Hal ini tidak menghairankan. Kini, setiap kali kita ke pasar raya dan membeli barangan bernilai RM50, 6 peratus mesti ditambah semasa membuat bayaran di kaunter. Bagi golongan marhaen, RM3 merupakan jumlah yang agak signifikan. RM3 bagi sesetengah individu boleh dibelanjakan untuk sekali sarapan pagi, dan masih berbaki.

Dulu kalau tiada duit, kita makan mi segera atau nasi berlauk sardin tin. Kini mi segera dan ikan sardin dalam tin pun kena GST. Jelaslah bahawa cukai ini tidak membezakan golongan miskin dan golongan berada. Malah dalam banyak situasi, ia menambah lebih beban terhadap mereka yang berpendapatan rendah.

Kos keperluan asas meningkat

Apabila harga barang yang paling asas, seperti kicap, sos, cili boh, marjerin dan lain-lain, pun dikenakan GST, maka tidak hendak tidak harga makanan yang siap dimasak turut naik. Tidak cukup dengan itu, makanan yang dijual di restoran pun dicukai GST. Akibatnya harga makanan melambunglah lagi.

Sepatutnya rakyat mempersoalkan mengapa produk keperluan asas harus dikenakan GST, seperti sabun badan, sabun basuh, bedak, ubat nyamuk, pensel, lampin bayi, ubat gigi dan sebagainya. Bahkan tuala wanita dan panty liner pun tidak terkecuali daripada cukai tersebut.

Impak pelaksanaan GST turut menular ke bahagian-bahagian lain dalam kehidupan harian. Sektor pengangkutan misalnya. Seperti kita sedia maklum, tambang bas dan teksi telah awal-awal lagi dinaikkan pada 1 April 2015.

Bidang kesihatan juga menerima kesannya. Dalam senarai Kastam, hanya sesetengah ubat-ubatan dikecualikan daripada GST, seperti Panadol dan ubat batuk. Selebihnya, termasuk yuran rundingan doktor, penyiasatan makmal, insurans perubatan, peralatan kesihatan dan seumpamanya, kena GST.

Barangkali isu yang paling jelas dapat dilihat oleh golongan muda-mudi ialah harga kad prabayar telekomunikasi. 6 peratus mesti ditambah bagi setiap pembelian top-up RM10.60, RM31.80, RM53.

Timbalan Menteri Kewangan waktu itu, Datuk Ahmad Maslan, menerusi Twitternya pada 1 April 2015, mendedahkan bahawa Kastam telah memanggil syarikat telekomunikasi pada hari yang sama untuk membincangkan isu harga kad prabayar. Dengan tegas beliau menyatakan, “Jika mereka degil, akan dibawa ke mahkamah!”

Namun beberapa jam kemudian, Twitter yang sama melaporkan, harga kad prabayar kekal RM10.60. Ini diikuti dengan jaminan bahawa isu pelaksanaan GST – seperti kad prabayar – akan stabil dalam masa 6 bulan.

6 bulan selepas GST, harganya tetap tidak turun-turun.

Begitu juga isu-isu lain. Kos perkakas harian, alat ganti kenderaan, pendidikan, harga rumah dan sebagainya tidak terkecuali dari dilanda tempias buruk pelaksanaan GST.

Sehinggakan baru-baru ini hendak membeli bendera Malaysia sempena bulan merdeka pun kena GST.

Reaksi rakyat

Seperti biasa, rakyat jelata akan berusaha menyesuaikan diri dengan kenaikan kos sara hidup ini. Ada yang cuba berjimat-cermat. Ada yang mengikat perut. Ada yang membuat kerja sampingan dan seumpamanya.

Namun sampai bila rakyat mampu bertahan? Harga komoditi getah dan kelapa sawit tetap tidak naik-naik. Gaji kekal di takuk lama. Gaji minimum Malaysia tidak lagi dinaikkan sejak tahun 2012. Subsidi minyak telah lama ditarik.

Dalam masa yang sama, ekonomi negara terus suram. Nilai ringgit jatuh merudum. Pada 21 September baru-baru ini, Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz menegaskan, setelah isu skandal 1MDB diselesaikan, barulah kita dapat melihat nilai mata wang kita pulih semula.

Diharapkan menjelang pilihan raya umum ke-14 nanti, rakyat tidak lupa menggunakan kuasa undi mereka untuk meminta kerajaan membatalkan GST serta-merta. Parti-parti politik yang bertanding wajar menjanjikan pemansuhan GST sebagai manifesto pilihan raya. - HARAKAHDAILY 27/9/2015

Share on Myspace