Surau baru di Selangor ambil kira keperluan semasa

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Projek pembangunan surau dengan reka bentuk baru di Selangor akan turut mengambil kira keperluan semasa.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi negeri, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, antaranya termasuk sistem penghawa dingin untuk disesuaikan dengan keadaan negara yang mempunyai cuaca panas hampir sepanjang tahun.

“Saya berbincang dengan arkitek dan kita mengambil kira semua aspek. Memang kebanyakan surau dilengkapi penghawa dingin untuk disesuaikan dengan keadaan negara kita yang panas," dipetik Selangor Kini.

Bagaimanapun, katanya keperluan hawa dingin perlu sejajar dengan keperluan semasa.

Menurutnya, adakala masjid atau surau besar memerlukan keperluan penghawa dingin yang banyak tetapi jemaah yang ada tidak seramai hari Jumaat juga hari lain yang ada majlis.

“Ini juga kita fikirkan,” katanya kepada Selangor Kini pada Program Sijangkang Fun Run 1st Edition di Kampung Sawah, Sijangkang, Banting hari ini.

Ahmad Yunus berkata, kerajaan negeri juga mendapati terdapat beberapa surau di Selangor yang berada dalam keadaan uzur dan tidak mampu menampung pertambahan jemaah, sekali gus membahayakan jemaah yang menggunakannya.

Share on Myspace