Jerebu: Semua sekolah bawah Jais ditutup esok

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Selaras dengan keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia dan keprihatinan Kerajaan Negeri Selangor terhadap keselamatan dan kesihatan pelajar, pendidik dan pengurus sekolah, semua sekolah di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan ditutup pada hari Isnin, 28 September 2015.

Jais dalam kenyataan media petang ini menyatakan oleh kerana cuaca semasa adalah tidak kondusif untuk para pelajar menduduki peperiksaan, Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) yang dijadualkan pada 28 September 2015 juga ditangguhkan ke satu tarikh lain yang akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

Justeru, semua calon PSRA akan memulakan peperiksaan pada hari Selasa, 29 September 2015 dengan kertas Bahasa Arab (Kod BA02) pada jam 2.40 petang.

"Semua sekolah yang terlibat hendaklah memastikan maklumat mengenai penangguhan ini sampai kepada semua calon dan pihak-pihak yang terlibat dalam kadar segera," tambah kenyataan itu menerusi laman facebook. - HARAKAHDAILY 27/9/2015

Share on Myspace