Pemuda MCA Pasir Gudang keterlaluan, kata Khairy

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) Khairy Jamaluddin menyifatkan tindakan Pemuda MCA Pasir Gudang yang mahu memutuskan hubungan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai keterlaluan dan tidak matang.
    
Beliau berkata sayap parti komponen boleh berbeza pandangan tetapi biarlah wajar.
    
"Boleh ada pandangan berbeza, tetapi saya lihat tindakan mereka itu keterlaluan dan tidak matang... kami mengecam pendirian mereka.
    
"Pemuda BN tidak ada kuasa disiplin ke atas parti komponen, jadi kita tak boleh gantung parti komponen kerana itu tidak ada dalam peraturan parti BN. Namun sekiranya mereka masih lagi berdegil, kita terpaksa putuskan hubungan sebagai komponen bahagian dalam Pemuda BN," katanya.
    
Khairy yang juga Ketua Pemuda Umno berkata demikian ketika diminta mengulas pandangan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai bahawa Pemuda MCA Bahagian itu perlu memperbetulkan haluan politiknya.
    
Pemuda MCA Pasir Gudang menerusi laman Facebook mereka baru-baru ini mengeluarkan kenyataan mahu memutuskan hubungan dengan Perdana Menteri susulan kenyataan sokongan beliau kepada Himpunan Rakyat Bersatu di Kuala Lumpur pada 16 Sept. - Bernama

Share on Myspace