Tambah peruntukan ehwal Islam, pembangunan desa

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Peruntukan bagi pembangunan hal ehwal Islam, pembangunan desa dan kampung tradisi di Selangor dijangka meningkat dalam Belanjawan 2016 yang bakal dibentangkan 30 Oktober ini.

Pengerusi  Hal Ehwal Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi negeri, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata pertambahan itu sejajar dengan kemampuan dan keperluan semasa masyarakat negeri itu, lapor Selangor Kini.

 “Kita mempunyai kemampuan kerana peningkatan pendapatan yang diperoleh.

“Disebabkan itu, saya jangka peruntukan bagi portfolio hal ehwal Islam dan pembangunan desa dan kampung tradisi juga akan ditambah berdasar keperluan semasa,” katanya pada program Sijangkang Fun Run 1st Edition di Kampung Sawah, Sijangkang, Banting hari ini.

Beliau berkata, antara isu yang mendapat perhatian Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali adalah langkah memodenkan pusat pengajian maahad tahfiz dan membina surau dengan reka bentuk baru yang standard di seluruh Selangor.

Katanya, kerajaan negeri turut mengambil kira ciri keselamatan bagi mengelakkan kejadian bumbung terbang dan kebakaran berulang selain mengambil kira kemampuan kapasiti bangunan.

Sementara itu, dalam program Sijangkang Fun Run 1st Edition di Kampung Sawah yang berlangsung hari ini, beliau berkata acara itu diteruskan atas permintaan peserta yang tidak mahu larian itu ditunda.

“Sebenarnya acara larian ini dijadualkan sempena Hari Malaysia, pada 16 September lalu. Kita tunda kerana jerebu tetapi bila saya lihat pada pagi itu, cuaca jadi cerah pula.

“Bila kita tunda ke hari ini, pagi ini berjerebu kembali tetapi kena teruskan kerana peserta sendiri tak mahu tangguh tetapi minta diteruskan," katanya yang juga Adun Sijangkang.

Share on Myspace